SEREMBAN: Seorang peniaga mengalami kerugian hampir RM200,000 apabila kenderaannya jenis Toyota Alphard dilarikan penyamun yang memecah masuk kediamannya di Taman Chip Aik, di sini, Isnin.Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, peniaga terbabit tiada di rumah kerana menjalankan perniagaan menjual aksesori kereta di premis perniagaannya di bandar ini, turut kehilangan komputer riba, beberapa botol minuman keras dan wang tunai RM300. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SUP Zazali Hashim berkata kejadian itu hanya disedari seorang pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di kawasan itu."Ketika melakukan rondaan pengawal keselamatan itu mendapati pintu rumah tersebut terbuka dan dia terus menghubungi peniaga terbabit yang segera pulang dan mendapati rumahnya telah dipecah masuk dan kenderaannya hilang."Berdasarkan siasatan awal, penyamun terbabit memasuki kediaman mangsa dengan memotong pintu besi di bahagian hadapan sebelum menggeledah rumah terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan serta pecah rumah dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. - BERNAMA