suria

Polis Perak Bongkar Taktik Kumpulan Lastik Samun Kereta & Pecah Rumah

IPOH: Polis Perak membongkar kegiatan curi kereta, pecah rumah dan samun di sekitar Ipoh dan Lembah Klang, menggunakan taktik melastik biji guli ke arah rumah mangsa sebelum memecah masuk, berikutan tertangkapnya tiga lelaki anggota kumpulan 'lastik'.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata kegiatan suspek dikesan atas maklumat orang awam sehingga membawa kepada penahanan tiga lelaki berumur 30 hingga 40 tahun itu di sebuah bilik hotel di kawasan Ipoh Garden pada pukul 1.10 pagi, Ahad.

Beliau berkata modus operandi suspek adalah dengan menaiki kereta curi menuju ke kawasan perumahan sebagai sasaran dan mencari rumah yang tiada penghuni.

"Sasaran paling utama untuk mereka (suspek) pecah masuk adalah rumah yang ada kereta mewah dan tiada penghuni di dalamnya. Sekiranya mereka lastik cermin rumah mangsa dan tiada respons, mereka akan mula lakukan kegiatan itu dengan memasuki rumah menggunakan kunci pendua yang telah diubah suai," katanya kepada pemberita di pejabatnya pada Isnin.

Beliau berkata kejayaan tangkapan itu juga berikutan laporan terbaru iaitu pada 6 April kira-kira pukul 8.30 pagi yang mana seorang mangsa mendapati dua lelaki berlari keluar dari rumahnya di kawasan Lapangan Siber, Bandar Siber, Simpang Pulai di sini, dengan membawa barang milik mangsa dan melarikannya dengan sebuah kereta jenis BMW. "Atas maklumat itu Jabatan Siasatan Jenayah IPD Ipoh dan balai diarahkan untuk mengumpul maklumat dan mengesan suspek sehingga membawa kepada serbuah di hotel terbabit," katanya.

Azisman berkata hasil serbuan di hotel terbabit, polis merampas peralatan yang digunakan untuk pecah rumah dan samun antaranya dua set alat rahang yang boleh diubah, empat rangkai anak kunci rumah, satu bekas tin berisi beberapa guli, satu lastik, satu uncang berwarna putih berisi peralatan kikir dan beberapa rambut palsu dan sebilah pisau berwarna biru.

"Polis juga menemui dua kereta di mana sebuah kereta jenis BMW 1 Series dilaporkan dicuri di kawasan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan sebuah kereta Honda Accord yang dilaporkan hilang di kawasan Batu Gajah, Ipoh. Kereta itu ditemui di kawasan parkir hotel itu.

"Rambut palsu yang kita rampas adalah digunakan untuk penyamaran bagi mengaburi mangsa dan menggunakan kunci pendua yang telah diubahsuai untuk memasuki rumah mangsa," katanya.

Beliau berkata dengan kejayaan polis melumpuhkan kumpulan itu, tiga kes pecah rumah di kawasan Ipoh, 10 kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Batu Gajah dapat diselesaikan. Katanya, ketiga-tiga suspek yang berasal dari Lembah Klang itu dipercayai bergiat aktif di kawasan Ipoh dan Lembah Klang sejak awal tahun ini.

"Mereka ini kita percaya tiada pekerjaan lain dan mereka adalah penjenayah tegar dengan melakukan kegiatan itu sepenuh masa. Mereka akan datang ke Ipoh dalam dua minggu dan sewa hotel yang dijadikan tempat penginapan. Bila berjaya (pecah masuk) mereka akan balik ke Kuala Lumpur semula," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat banyak lagi kereta lain yang dicuri suspek tetapi telah dijual melalui rangkaian sindiket curi kereta yang lain. "Kita akan siasat lagi sama ada mereka ada rangkaian dengan kumpulan curi kereta yang lain kerana curi kereta mewah biasanya bersindiket, ada kumpulan yang ditugaskan mencari dan mencuri seterusnya menyerahkan kepada kumpulan yang lain untuk dieksport ke selatan atau utara melalui modus operandi mereka sendiri," katanya.

Ketiga-tiga suspek mempunyai jenayah lampau iaitu curi kereta, pecah rumah, dadah dan mencabul kehormatan. Mereka ditahan reman selama empat hari sehingga 18 April ini. -BERNAMA

Artikel Lain