suria

'Sentap' Sampai Nak Langgar? Langgarlah!

SENTAP dalam kamus dewan bermakna meragut atau menarik sesuatu benda dengan kuat. Tapi perkataan ‘sentap’ dalam konteks dunia hiburan sering diumpamakan seperti seseorang itu berasa hati.

Perkataan ‘sentap’ ini sering diguna pakai oleh sebilangan besar artis dan pengamal dunia hiburan ketika ini apabila menuturkan bicara yang menjurus kepada maksud yang saya jelaskan.

Saya juga berhadapan dengan situasi ini apabila seorang teman saya berperasaan ‘sentap’ terhadap saya sehingga membawa diri ke sebuah pulau kerana satu teguran, hahaha. Iyalah... saya berpandangan, tiada orang yang mampu menegur seseorang melainkan temannya sendiri dan itulah bukti kasih-sayang saya kepadanya.

Sama juga dalam konteks dunia kewartawanan. Saya bersetuju dengan pandangan Siti Jarum dalam Mingguan Malaysia iaitu hanya wartawan sahaja yang boleh menegur wartawan. Dan ia adalah sama prinsipnya dalam konteks sebuah persahabatan yang saya jelaskan tadi.

Perasaan ‘sentap’ ini timbul apabila teguran atau pandangan itu tidak mampu diterima dengan baik kerana sifat manusia itu sendiri lebih terdorong kepada keburukan dan gemar dengan puji-pujian.

Tetapi Allah memberikan manusia itu akal dan fikiran. Dan dengan akal itulah manusia perlu berfikir dalam mengimbangi keburukan yang ada dalam diri, termasuklah untuk diri saya sendiri.

Dan percaya atau tidak, sejak sebulan lalu ada beberapa kumpulan atau pihak yang mempunyai perasaan sebegitu kepada saya.

Banyak e-mel, kritikan, hinaan dan sindiran yang saya terima selepas saya mengkritik sesuatu perkara yang saya menilainya daripada kaca mata dan akal fikiran saya. Saya tak mahu menyebut apakah kritikan tersebut kerana episod itu sudah pun berakhir. Kepada yang tahu... tahulah.

Saya berterima kasih kepada kumpulan ini yang melaungkan nama saya dalam satu simposium yang diadakan.

Mereka mempertikaikan kredibiliti saya sebagai Pengarang Hiburan yang dilihat tidak wajar mengkritik karya yang mereka hasilkan, saya terima pandangan itu...

Perlu saya jelaskan, ia adalah pandangan peribadi saya. Saya tidak memaksa sesiapa pun untuk menerima pandangan saya sebaliknya saya meminta mereka menilai apa yang saya perkatakan. Nak terima... terimalah. Tak nak terima... sudahlah!

Saya diberitahu ada individu yang mahu bertentang mata dengan saya.... saya ketawa sahaja.

Boleh hubungi saya jika mahu berjumpa. Saya bukan seorang yang penakut pun. Sebab itulah ruangan saya ini mempunyai nama saya sendiri, malah saya telah siarkan nombor telefonnya sekali.

Siapa sebenarnya penakut? Hahah... sebab itulah kalau kita berkata diri kita berani, kita perlulah menunjukkan keberanian itu.

Janganlah menjadi seperti sang kambing menanduk bukit, tanduknya patah, bukit tak runtuh lalu menangis lari ke kandang sambil “menggembekkk.”

Bahana ‘sentap’ yang ada dalam diri segelintir penggiat seni itu telah memakan diri. Ada yang berkata saya ini seperti sampah... hahaha.... saya terus ketawa sampah pada hari ini menjadi sumber pendapatan kepada sebahagian kecil daripada kita.

Dan ada pula yang mahu melanggar saya. Malah kalau saya mati selepas dilanggar itu, dia mahu melanggar lagi.

Sampai bab ini saya terus ketawa selama tiga hari berturut-turut kih... kih... kih... ini betul-betul cerita pak lawak zaman TV hitam putih.

Saya faham, dia hanya bergurau... Yalah... orang tua memang macam tu. ‘Sentapnya’ lebih apatah lagi kalau orang tua yang sudah nak nyanyuk.

Saya tak ambil pusing pun kerana saya dibayar gaji untuk memberi pandangan dan bukannya mengikut telunjuk orang.

Tapi kalau ada orang nak langgar, langgarlah! Yang melanggar itu akan masuk penjara tetapi yang mati akan masuk syurga, jadi siapa yang lebih hebat? hehe!

NIEZAM: Marah tandanya sayang...

Artikel Lain