suria

KWSP Perkenal Garis Panduan Penilaian Hilang Upaya Kekal

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Garis Panduan Penilaian Hilang Upaya Kekal untuk Pengeluaran Hilang Upaya kepada Lembaga Perubatan KWSP dan pengamal-pengamal perubatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Datuk Ibrahim Taib berkata pengenalan garis panduan itu adalah sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan untuk mempertingkatkan perkhidmatan KWSP kepada semua ahlinya.

"Garis panduan itu bertujuan untuk membantu menyediakan penilaian hilang upaya dengan lebih tepat, konsisten dan objektif.

"Malah, ia dapat menyediakan satu piawaian yang jelas bagi membolehkan Lembaga Perubatan KWSP dan pengamal perubatan menilai keadaan kesihatan ahli-ahli terbabit dan menentukan kelayakan mereka untuk membuat Pengeluaran Hilang Upaya KWSP," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata Pengeluaran Hilang Upaya KWSP, yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1952, membolehkan ahli mengeluarkan semua simpanan KWSP masing-masing setelah disahkan hilang upaya.

"Ia merangkumi fizikal atau mental sewaktu bekerja atau menyara hidup selepas menerima rawatan perubatan yang maksimum," katanya.

Ibrahim berkata garis panduan itu adalah hasil komitmen dan sumbangan tidak ternilai pakar-pakar perubatan yang berpengalaman luas dari Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"KWSP telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dan Perkeso untuk memastikan ahlinya menerima penilaian perubatan hilang upaya yang terbaik," katanya.

Menurutnya garis panduan itu juga boleh dijadikan bahan rujukan berguna untuk membantu Lembaga Perubatan KWSP dan pengamal perubatan dalam memahami definisi hilang uapaya kekal dan rawatan perubatan maksimum dalam skop Perubatan Hilang Upaya KWSP.

"Bayaran yang dituntut di bawah Pengeluaran Hilang Upaya KWSP merangkumi kesemua jumlah simpanan anggota bersama Bantuan Hilang Upaya iaitu sebanyak RM5,000.

"Ia berbeza dengan tuntutan bayaran kepada Perkeso yang dibuat secara bulanan sepanjang tempoh hilang upaya dengan menggunakan dana daripada premium berkelompok yang dikutip di bawah konsep insurans," katanya.

Garis panduan itu menyenaraikan hospital yang dilantik, maklumat umum Proses Pengeluaran Hilang Upaya, kaedah penilaian dan kriteria untuk kes yang tidak perlu dirujuk kepada Lembaga Perubatan seperti kes penyakit kritikal yang tiada harapan untuk pulih. - BERNAMA

Artikel Lain