suria

Kereta Langgar Pokok, Dua Orang Asli Maut

BERA: Dua orang terbunuh dan lima cedera apabila kereta yang dinaiki tujuh sekeluarga Orang Asli itu terbabas dan melanggar sebatang pokok di Km 34 Jalan Temerloh–Bahau pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superitendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kejadian pada pukul 5 pagi itu berlaku ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Bahau ke Paloh Hinai di Pekan. Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Saadan Pendek, 36, yang merupakan penumpang hadapan dan Subia Lidin, 12, penumpang belakang, kedua-duanya berasal dari Kampung Orang Asli Runchang, Pekan. Pemandu kereta, Kassim Law, 20, cedera parah di bahagian kaki, muka dan badan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Mereka yang cedera adalah Rosnani Lidin, 15, Adila Adi, 16, Rosnita Lidin, 13, dan Kitie Mail, juga 13. Mereka turut dirawat di hospital yang sama.

Mohd Zahid berkata, kereta yang dinaiki keluarga itu dipercayai dipandu laju sehingga terbabas ke kanan jalan lalu melanggar sebatang pokok.

"Dua penumpang berkenaan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain