suria

Kadir Sheikh Fadzir Umum Keluar Umno

PETALING JAYA: Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.

"Saya baru saja menghantar surat kepada Setiausaha Agung Umno, peletakan jawatan selaku ahli Umno akan berkuat kuasa hari ini (Isnin)," kata Abdul Kadir dalam satu kenyataan.

Beliau turut memberitahu telah meletak jawatan selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu pada minggu lalu.

Kadir,73, menjadi ahli Umno sejak tahun 1956.

Beliau juga pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia selama 10 tahun dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno selama 24 tahun.

Jawatan-jawatan lain beliau dalam politik termasuklah ketua Pemuda Umno Negeri Kedah, setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri penuh.

Antara lain beliau pernah menjadi menteri penerangan dan menteri pelancongan Malaysia.

Buat masa ini beliau adalah timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang diterajui oleh veteran-veteran politik termasuklah Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ong Tee Kiat, bekas presiden MCA.

Sejak akhir-akhir ini, Kadir sering kali mengeluarkan kenyataan yang dilihat sebagai mengkritik Umno, termasuk mendakwa BN dan Umno membeli undi dan mengamalkan budaya politik wang.

Ekoran kenyataannya itu, pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta beliau meninggalkan parti jika tidak berpuas hati.

Artikel Lain