suria

Benteng Ombak Pecah, 1,000 Penduduk Diancam Bahaya

SEBUYAU: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sebuyau di sini, diancam bahaya setelah benteng penahan ombak sepanjang satu kilometer pecah dilanda air pasang besar dan ombak setinggi kira-kira lima meter sejak dua hari lepas.

Ketua Kaum Kampung Sebuyau Baru, Sapiee Wasli berkata kerosakan pada benteng batu dan konkrit menyebabkan ombak besar dan air pasang membanjiri kampung dan menjejaskan pasar, sebuah Pusat GiatMara serta dua sekolah rendah berdekatan.

"Kejadian paling teruk berlaku dua malam yang lalu sehingga menyebabkan kami penduduk kampung tidak dapat tidur lena kerana ombak masuk ke rumah selepas benteng yang terletak hanya kurang 10 meter dari kampung kami itu pecah," katanya kepada Bernama.

Katanya akibat kejadian, beberapa buah rumah tenggelam selain kerosakan harta benda penduduk seperti kenderaan.

Paras air naik dengan begitu cepat sehingga penduduk tidak dapat berbuat apa-apa dan keadaan bertambah buruk selepas bekalan elektrik turut terputus sejak malam kelmarin, kata Sapiee.

"Ketika ini penduduk yang terjejas terpaksa berpindah ke sebuah surau berdekatan selain ada yang berpindah ke sebuah sekolah rendah bantuan kerana masih lagi bimbang dengan ancaman ombak besar," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Karim yang melawat kampung itu berkata, pihaknya akan meminta kontraktor membaiki semula bahagian benteng yang pecah.

Ini kerana katanya, benteng itu masih dalam peringkat pembinaan.

"Kita berharap penduduk bersabar dan segera berpindah ke tempat selamat jika keadaan masih lagi buruk," kata Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar.

Kedudukan Sebuyau di muara Sungai Batang Lupar dan menghadap Laut China Selatan menyebabkan kampung itu sentiasa berdepan ancaman ombak besar dan arus air yang deras. - BERNAMA

Artikel Lain