suria

Isytihar Wilayah Persekutuan Kubu Kuat, Anwar Ibarat Bermimpi Di Siang Hari

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diibaratkan seperti bermimpi di siang hari apabila mengisytiharkan Wilayah Persekutuan sebagai kubu kuat Pakatan Rakyat selepas memenangi Pilihan Raya Umum 2008.

Perwakilan Umno Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar menyifatkan Anwar hanya berangan-angan untuk merampas Wilayah Persekutuan daripada Barisan Nasional (BN) kerana pakatan pembangkang terbukti tidak berupaya mentadbir dengan baik.

"Kita nak beritahu Anwar kalau pengisytiharan dibuat berdasarkan PRU 2008, bermakna mereka ini bermimpi di siang hari. Pengalaman pada ketika itu mencetuskan kebangkitan maksimum Timbalan Presiden, Muhyiddin dan jentera parti untuk merampas kembali kerusi yang terlepas suatu ketika dulu.

"Saya nak seru nama Nurul Izzah (Lembah Pantai), Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak) dan Tian Chua (Batu) yang merupakan pemimpin kanan PKR...kalau kamu katakan ini kubu kuat kamu, kami akan katakan ini kubur penamat ketiga pemimpin ini," katanya ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Sabtu.

Kenyataan Rizalman itu merujuk kepada tindakan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat tiga bulan lalu apabila mengisytiharkan Wilayah Persekutuan sebagai kubu kuat pembangkang.

Sehubungan itu, Rizalman menyeru umat Islam supaya bersatu hati menolak corak permainan yang diatur oleh Pakatan Rakyat.

"Jangan bercita-cita untuk corak kehidupan orang Melayu tetapi akhirnya membiarkan orang Melayu melukut di tepi gantang," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai supaya memahami konsep wasatiah (kesederhanaan) dan pertimbangkan apa yang dilakukan oleh kerajaan dengan akal fikiran.

"Segala perkara baik yang kita lakukan disalah tafsirkan...kita berasa cukup sedih terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Serangan fitnah pembangkang membuktikan mereka cukup terdesak dengan mencipta fitnah peribadi secara tersusun selepas melihat kejayaan pelan transformasi dan konsep kesederhanaan Umno," katanya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar sekolah kebangsaan agama di peringkat rendah diwujudkan bagi memberi pilihan kepada ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta aliran agama.

"Kita sedar terdapat ibu bapa yang ingin anak-anak mereka mendapat pendidikan islam tinggi secara menyeluruh di peringkat rendah. Persoalan wujud banyak ruang kekosongan di sekolah rendah menyebabkan mereka hantar anak-anak ke sekolah swasta aliran agama atau sekolah pondak," katanya.

Setakat ini, beliau berkata, kira-kira 14, 092 murid mendapat pendidikan di sekolah pondok yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain