suria

Sistem Pemantauan Lebih Baik Pastikan Hak Pekerja Asing Terbela - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam berkata sistem pemantauan yang lebih baik perlu diwujudkan bagi memastikan hak pekerja asing sentiasa terbela dan terjamin.

Katanya walaupun undang-undang negara tidak mendiskriminasikan antara pekerja tempatan dan pekerja asing tetapi kadang-kadang dalam pelaksanaannya ada pihak yang menyelewengkan apa yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

"Jadi sistem yang lebih kuat terutamanya dari segi pemantauan perlu bagi memastikan hak pekerja asing kekal terbela," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perundingan serantau mengenai hak pekerja asing untuk mendapat keadilan dan penglibatan pekerja asing wanita di Asean.

Menurut Subramaniam, di Malaysia, hak kesamarataan telah diberikan kepada semua pekerja termasuk pekerja asing, termasuklah daripada segi gaji serta cara pembahagian kerja dan isu hak ketidaksamaan tidak sepatutnya wujud.

Persidangan sehari itu membentangkan penemuan dan laporan secara adil mengenai penderaan atau apa-apa bentuk penindasan yang berlaku di kalangan pekerja asing.

Turut hadir Pengarah Tenaganita-Malaysia Irene Fernandez dan Presiden Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap hak pekerja asing Abdelhamid El Jamri. -BERNAMA

Artikel Lain