suria

Penghidap HIV Harus Patuhi Masa Makan Ubat

GEORGE TOWN: Semua penghidap AIDS/HIV harus mematuhi masa yang ditetapkan doktor untuk menerima rawatan bagi memastikan ubat yang diberi dapat berfungsi dengan efektif biarpun ditahan di lokap.

Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Tan Sri Mohd Zaman Khan berkata masa untuk mendapatkan rawatan atau memakan ubat adalah faktor penting untuk mengawal penyakit tersebut.

"Jika penghidap terbabit ditetapkan memakan ubat jam 10 pagi, maka ia perlu makan pada masa itu tetapi jika terlambat, ia seharusnya dipenuhi dalam tempoh sejam," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar dan Pameran HIV/Aids 2011 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, Jumaat.

Katanya beliau telah berbincang dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar penghidap positif HIV yang ditahan di dalam lokap, diberi rawatan segera termasuk pergi ke rumah suspek untuk memgambil ubatnya sekiranya perlu.

"Perbincangan yang dilakukan mendapat maklum balas baik PDRM dan bersedia untuk membantu pesalah yang menghidap virus maut agar dapat menerima rawatan segera," katanya.

Katanya tempoh masa rawatan adalah sangat penting kerana ia menentukan keupayaan antibodi penghidap untuk bertahan dan jika ia tidak dipatuhi, ubat yang diberi tidak akan berfungsi dengan baik.

Beliau berkata mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga tahun lepas, terdapat lebih 90,000 orang penghidap HIV yang masih hidup di negara ini.

"Kadar penyebaran terkini lebih kurang 10 kes baru setiap hari dengan 47.4 peratus daripada transmisi penularan HIV didorong oleh pengguna dadah suntikan," katanya.

Terdahulu, seminar sehari anjuran MAM, JAKIM dan USM itu telah dihadiri 100 penuntut dan kakitangan USM bertujuan memberi pendedahan dan maklumat lengkap virus terbabit dan perlunya masyarakat sekeliling tidak meminggirkan golongan berkenaan.

Hadir sama Dekan Fakulti Sains Sosial USM, Prof Madya Dr Ismail Baba dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zakuan Sawai. -BERNAMA