suria

Pembangkang Mahu Pesong Fakta Sejarah - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tindakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang menganggap Mat Indera sebagai wira dalam peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 boleh dianggap sebagai cubaan pembangkang merombak sejarah negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangkang berkemungkinan mempunyai muslihat untuk memesongkan fakta sejarah sedia ada.

"Itu mungkin muslihat dia, bagi saya ini sesuatu yang amat bahaya. Kalau kita biarkan begitu, banyak orang akan terpesong dan sejarah tidak akan beri kesan kepada kita. Jadi kita kena berhati-hati," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis anugerah dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2010 di Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara di sini, Selasa.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembangkang akan merombak sejarah negara sekiranya berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

"Kalau dia (pembangkang) nak memerintah negara, semua sejarah yang ada dia akan buang.

"Dia akan tulis sejarah baru. Yang jadi pejuang dan hero dahulu adalah Mat Sabu ataupun pemimpin Melayu yang mendokong PAS dan sebagainya.

"Rosaklah kalau negara ada pemimpin politik (begini) naik (memerintah)," katanya.

Sebelum ini Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu mendakwa Mat Indera yang terlibat dalam serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong adalah hero sebenar.

Susulan ceramah itu, beliau telah dikecam banyak pihak kerana dianggap menyokong perjuangan komunis kerana didakwa mengangkat individu yang bersama pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) menyerang Bukit Kepong.

Menurut Muhyiddin lagi, Mohamad seharusnya mendapatkan pandangan dan nasihat pakar sejarah berhubung polemik yang dibangkitnya sendiri.

"Tak perlu nak bahas lebih daripada itu. Ramai pakar sejarah telah nyatakan ini (kenyataan Mohamad) satu kesilapan besar.

"Pada pandangan saya yang sebaiknya kalau dah tahu silap, jangan berbahas dengan sesiapa, panggil pakar sejarah tanya pakar sejarah.

"Saya tak penting, pakar sejarah itu penting. Saya berpegang kepada apa yang saya belajar di sekolah, itu yang saya pegang. Tak perlu kita nak berdebat panjang lebar," katanya.

Selain itu, Muhyiddin turut menyarankan agar Mohamad mengakui kesilapan dan menyatakan permohonan maaf secara terbuka berhubung tindak tanduknya itu.

Jelasnya, seorang pemimpin akan lebih dihormati sekiranya berani mengakui kesilapan yang dilakukannya.

"Kalau sudah tersilap dan salah, mengakulah salah. Sebagai manusia kita ada kelemahan, takkan Mat Sabu ini maksum yang terpelihara daripada segala dosa.

"Pemimpin besar dunia bila mengaku bersalah, ia akan lebih dihormati. Jangan bertahan kepada sesuatu yang tidak betul.

"Apa salahnya nak buat begitu, jangan nak bertegang sebegitu rupa kerana takut maruah parti atau maruah diri akan jatuh," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain