suria

Kes Tertunggak Boleh Hakis Kepercayaan Rakyat Kepada Sistem Kehakiman - PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan masalah kes tertunggak sebagai masalah ketidakcekapan pentadbiran yang boleh menghakis kepercayaan rakyat bukan sahaja kepada sistem kehakiman tetapi juga kepada kerajaan secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, badan kehakiman negara telah mengambil langkah bijak dan cepat apabila kes-kes tertunggak di semua mahkamah dalam negara telah berjaya dikurangkan kepada hampir 90 peratus dalam masa dua tahun.

Beliau berkata berikutan itu, hampir tiga perempat daripada seluruh mahkamah di Malaysia kini hanya mempunyai kes-kes semasa iaitu kes yang didaftarkan pada tahun lalu dan tahun ini sahaja.

Masalah kes tertunggak bukanlah satu masalah luar biasa yang unik kepada mana-mana sistem kehakiman di dunia ini, kata Perdana Menteri dalam ucapannya sempena lawatan kerja pertama beliau ke Istana Kehakiman di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

“Tujuan lawatan saya ke sini ialah untuk meninjau dengan lebih dekat pembaharuan-pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh badan kehakiman di bawah pimpinan Yang Amat Arif Tun Zaki Tun Azmi.

“Melalui pengamatan saya dan juga melalui penerangan yang diberikan oleh Tun Zaki sendiri, saya percaya Badan Kehakiman Negara telah melangkah ke satu tahap yang membanggakan terutamanya menerusi usaha-usaha yang dilakukan untuk mengurangkan kes-kes tertunggak,” katanya.

Najib berkata selain pembaharuan dan perubahan yang ditunjukkan di dalam sikap dan budaya kerja, mahkamah juga telah memperkenalkan sistem teknologi berkomputer dan juga rakaman audio visual di dalam mahkamah di seluruh negara.

Katanya badan kehakiman turut memperkenalkan mahkamah khas yang mendengar kes-kes yang dikhususkan untuk mahkamah tersebut sahaja.

“Misalnya penubuhan Mahkamah Dagang Baru di Kuala Lumpur telah dapat menyelesaikan kes-kes dagang dalam masa sembilan bulan dari tarikh difailkan,” katanya.

Beliau berkata melalui inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk memerangi rasuah pula, sebanyak 16 Mahkamah Khas Rasuah telah ditubuhkan untuk mempercepatkan pendengaran kes-kes rasuah yang merupakan usaha kerajaan untuk memastikan kes rasuah dapat diselesaikan dalam masa singkat.

Najib berkata kerajaan berbangga dengan pembaharuan yang telah dilakukan oleh badan kehakiman negara apabila pencapaiannya diiktiraf oleh badan antarabangsa seperti Bank Dunia yang telah menyediakan laporan bertajuk “Malaysia Court Backlog and Delay Reduction Program: A Progress Report”.

“Saya sempat membaca draf laporan tersebut dan amat tertarik dengan beberapa komen positif yang diberikan oleh pengarang. Saya yakin dan percaya bahawa apa yang dilakukan oleh Badan Kehakiman Negara dapat menjadi contoh kepada negara lain,” katanya.

Mengenai lawatannya hari ini, Perdana Menteri berkata sebenarnya dalam menimbang untuk membuat lawatan kerja itu, beliau mengambil sikap berhati-hati supaya tidak timbul sebarang tanggapan atau perspektif negatif mengenai hubungan antara Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman.

“Hubungannya bukan sahaja perlu di landasan yang betul tetapi juga perlu dilihat sebagai betul. Saya amat memahami cabaran para hakim.

“Saya teringat kata-kata mendiang Thurgood Marshall mantan Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat, “We must never forget that the only real source of power that we as judges can tap is the respect of the people” (Jangan kita lupa bahawa satu-satunya sumber kuasa sebenar yang kita sebagai hakim boleh dapat ialah rasa hormat rakyat),” katanya.

Najib berkata pentadbirannya amat menghormati dan memahami keperluan bagi cabang kehakiman yang bebas.

“Pentadbiran saya komited dalam memastikan badan kehakiman yang bebas yang merupakan ramuan paling penting dalam mana-mana usaha pembangunan negara yang berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang meneliti cadangan daripada badan kehakiman untuk menaik taraf jawatan Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret berikutan pindaan kepada Akta Mahkamah Rendah 1948 yang menaikkan bidang kuasa Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Sempena persaraan Tun Zaki sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 Sept ini, Najib berkata, tidak dinafikan beliau telah memainkan peranan yang bukan sahaja signifikan tetapi juga amat penting dalam memastikan perubahan dan pembaharuan yang diperkasakan itu berjaya.

“Beliau membawa kebaikan dan merit kepada badan kehakiman yang dipertanggungajwabkan kepada beliau. Pihak kerajaan mengucapkan terima kasih. Tahniah bagi kerja cemerlang dan selamat bersara,” katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain