suria

Tiga Dituduh Sebabkan Kematian Bekas Anggota Polis

IPOH: Seorang pekerja pasar borong dan dua pekerja kedai besi buruk pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian seorang bekas anggota polis pada Julai lepas.

R. Ganesan, 30, S. Sivakumar, 18, dan Hasyim Jaganathan Abdullah, 36, didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Pusat Makanan Kum Sun yang beralamat No 1-3, Jalan Pengkalan Indah 2, Taman Pengkalan Indah di sini, pada 22 Julai lepas antara 10 malam dan 12 tengah malam.

Ketiga-tiga mereka dituduh menyebabkan kematian bekas anggota polis S.Sunther, 50, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Noor Hayati Mat menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhaimin Aris. - BERNAMA

Artikel Lain