suria

10 Ahli NGO Bantah Perjanjian Pertukaran Suaka

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10 orang yang mendakwa mewakili badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di hadapan Hotel Mandarin Oriental di sini bagi membantah majlis menandatangani dokumen pertukaran pemohonan suaka antara Malaysia dan Australia pada Isnin.

Bantahan yang diketuai Ketua Biro Undang-undang PKR, Latheefa Koya, itu bermula pada pukul 11.30 pagi dan bersurai setengah jam kemudian.

Mereka membawa sepanduk yang tertera ayat membantah pelaksanaan pertukaran itu sambil melaungkan 'Shame On You, Stop The Deal'.

Menurut Latheefa, bantahan itu dilakukan kerana tiada butiran terperinci dikemukakan kedua-dua berhubung perjanjian pertukaran suaka yang melibatkan 800 pelarian dari Australia.

"Sehingga hari ini, tiada butiran diperincikan berhubung perkara itu. Segalanya masih menjadi rahsia," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Jelasnya, mereka turut tidak berpuas hati dengan penempatan semula 800 pelarian dari Australia ke Malaysia yang didakwa kononnya mempunyai rekod buruk dalam menyediakan perlindungan kepada pelarian.

"Kita masih belum memeterai konvensyen pelarian 1951 dan dalam proses memansuhkan hukuman sebat kepada pendatang asing," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Dr Irene Fernandez mendakwa, pihaknya tidak jelas bagaimana perjanjian itu mampu mengawal jenayah pemerdagangan manusia.

"Kedua-dua negara masih belum memahami kehidupan pelarian. Mereka melarikan diri untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa penganiayaan.

"Walapun perjanjian itu dimeterai, pelarian akan melarikan diri dari sesebuah negara jika terdapat penganiyaan dan berlaku konflik," katanya.

Irene berkata, perjanjian itu jelas membuka laluan kepada pencabulan hak asasi manusia sekaligus meningkatkan dikriminasi terhadap prinsip asas perlindungan pelarian.

"Kami akan meningkatkan usaha untuk memantau pencabulan hak asasi pelarian dan amalan diskriminasi terhadap mereka di Malaysia termasuk 800 pelarian yang ditempatkan semula di negara ini," katanya.

Turut hadir menyertai bantahan itu adalah Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan Australia, Chris Bowen menandatangani perjanjian itu buat pertama kalinya di sini pada Isnin.

Kedua-dua negara berpendapat mereka perlu memulakan usahasama berkesan bagi memerangi sindiket penyeludupan migran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain