suria

24 Lagi Kedai 1Malaysia Akan Dibuka Tahun Ini

PUTRAJAYA: Sebanyak 24 Kedai Rakyat 1Malaysia akan beroperasi di sekitar Lembah Klang sebelum hujung tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, empat buah kedai akan dibuka sebelum Hari Raya Aidilfitri iaitu di Cheras, Gombak, Pantai Dalam dan Bandar Tun Razak manakala bakinya sebelum hujung tahun ini.

"Pada tahun hadapan kerajaan akan membuka 60 buah kedai lagi, menjadikan 84 buah Kedai Rakyat 1Malaysia. Kerajaan akan terus memperluaskan kedai seumpama itu di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Bagi kita produk 1Malaysia itu yang lebih penting kerana harganya 40 peratus kurang daripada produk-produk lain. Harga produk 1Malaysia murah sebab tiada brand, kaedah pembungkusannya mudah dan dibeli secara pukal namun kualitinya tetap bermutu," katanya kepada pemberita selepas sesi soal jawab laman sembang portal 1Malaysia Pengguna Bijak, di sini, Rabu.

Beliau berkata, kedai Rakyat 1Malaysia akan diurus oleh Mydin Mohamed Holdings Berhad dengan kerjasama kerajaan.

Jelas beliau lagi, ia berkonsepkan pasar mini yang menjual pelbagai barangan keperluan asas tanpa jenama, pada harga berpatutan berbanding banyak jenama lain yang terdapat di pasaran.

Ismail Sabri yakin Kedai Rakyat 1Malaysia akan mengurangkan beban rakyat di mana rakyat boleh memilih barangan keperluan dengan harga yang murah sekaligus memberi manfaat besar kepada pembekal tempatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain