suria

13 Ditahan Main Judi Komputer Di Ampang

KUALA LUMPUR: Seramai 13 orang ditahan ketika leka berjudi manakala 54 mesin judi dan 41 mesin slot dirampas dalam serbuan di sebuah pusat membeli-belah di Ampang malam Selasa.

Ketua operasi DSP Mohamed Mokhsen Mohamed Zain dari Urus setia NKRA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, berkata serbuan dilakukan kira-kira 9.30 malam ke atas tiga premis di kompleks tersebut.

Ketika ditahan kesemua mereka yang berusia antara 19 dan 50 tahun sedang asyik bermain judi komputer. Dua penjaga premis juga ditahan, katanya kepada pemberita, di lokasi serbuan.

Katanya siasatan awal mendapati kesemua premis yang beroperasi 24 jam itu berselindung di sebalik perkhidmatan internet dan pusat hiburan keluarga.

"Premis-premis tersebut juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup bagi mengawal aliran keluar masuk pelanggan," katanya.

Kesemua yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1952. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain