suria

Bersih Fail Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap perintah Menteri Dalam Negeri, yang mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram.

Jawatankuasa dianggotai 14 ahli itu berkata perintah itu telah mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram kerana didakwa "mengancam dan menggugat ketenteraman awam serta keselamatan negara."

Mereka memohon semakan kehakiman bagi membatalkan perintah bertarikh 1 Julai itu yang dibuat di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 yang mengisytiharkan gabungan itu sebagai pertubuhan haram.

Bersih 2.0 merancang perhimpunan haram di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pada 9 Julai ini bagi menuntut pilihan raya lebih bersih dan adil.

Antaranya, mereka ingin mendapatkan perintah larangan terhadap Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan pegawai-pegawai mereka daripada memasuki dan menggeledah sebarang premis selain merampas harta benda milik mereka.

Mereka turut memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk mendesak Menteri dan Ketua Polis Negara supaya memulangkan baju T, pelekat, surat khabar, buku, risalah, pengisytiharan, akaun, sepanduk dan lain-lain dokumen berlogo serta perkataan yang dirampas.

Selain itu, mereka memohon perintah mahkamah supaya perintah pengisytiharan Bersih sebagai pertubuhan haram ditangguhkan sementara mendengar sebutan dibuat serta keputusan semakan kehakiman diperolehi.

Turut dituntut ialah kos serta relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Artikel Lain