suria

Malaysia Cadangkan Pengeluaran Raifal Tempur M4 Sebagai Projek Perintis ADIC

JAKARTA: Malaysia mencadangkan supaya pengeluaran raifal tempur Colt M4 Carbine dijadikan sebagai sebagai projek perintis dalam program Kolaborasi Industri Pertahanan Asean (ADIC) bersama Indonesia dan Thailand.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana sebuah syarikat besar di Malaysia sudahpun diberikan lesen pengeluaran senjata tempur M4 itu dengan 85 peratus komponen dalamnya menggunakan komponen tempatan.

Katanya beliau mencadangkan agar projek perintis dalam ADIC itu dilaksanakan dengan menawarkan dalam bentuk equiti saham atau kolaborasi dengan Indonesia dan Thailand.

"Saya juga mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri pertahanan negara anggota Asean yang lain, dan mereka tidak menolak kerjasama ini sebagai projek perintis," katanya pada satu persidangan media di sini Jumaat.

Ahmad Zahid berada di sini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) ke lima, dan semalam mesyuarat itu dilaporkan menerima pakai kertas konsep berhubung penubuhan ADIC, yang disediakan oleh Malaysia.

Colt M4 Carbine digunakan sebagai raifal tempur infantri oleh angkatan tentera Amerika Syarikat, dan ia lebih fleksibel kerana boleh ditukar ganti dengan aksesori khusus seperti skop optikal dan pelancar grenad.

Mac lepas Ahmad Zahid mengumumkan perjanjian RM700 juta (US$231 juta) dengan Amerika Syarikat untuk pembelian 130,000 senjata baru bagi angkatan tentera dan polis.

Pembelian itu termasuk karbin 5.56mm Colt M4 keluaran Colt Defence LLC, yang boleh digunakan dengan pelancar grenad M203, untuk menggantikan raifal Steyr AUG buatan Austria.

Syarikat pengeluar senjata Malaysia SME Ordnance Sdn Bhd (SMEO), yang memulakan pengeluaran tempatan bagi raifal Steyr AUG buatan Austria pada 1991, memeterai perjanjian awal dengan Colt Defence LLC untuk memperoleh 14,000 karbin Colt M4 pada 2007.

Syarikat itu membuat susulan bagi kontrak kedua dengan firma yang sama pada Februari tahun ini bagi pembekalan 116,000 karbin bagi tempoh tujuh tahun, sementara menunggu kelulusan Kongres AS.

Sebaik sahaja pemindahan teknologi dilaksanakan, Malaysia akan diberikan hak untuk memasarkan karbin buatan tempatan ke Thailand, Brunei, Filipina, Indonesia dan negara-negara yang menggunakannya.

Ahmad Zahid berkata jika dipersetujui, Indonesia dan Thailand mungkin boleh mengeluarkan komponen tertentu raifal M4 itu untuk dipasang di Malaysia.

Beliau berkata susulan kepada cadangan projek ini akan melibatkan mesyuarat di peringkat syarikat perniagaan dengan syarikat perniagaan (B to B), dan menurutnya projek perintis ADIC ini diharap dapat dimulakan akhir tahun ini.

Pagi ini para menteri pertahanan negara anggota Asean mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Presiden. - BERNAMA

Artikel Lain