suria

Khalid Dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Datuk Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru berkuatkuasa esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata Khalid, 54, menggantikan Datuk Hussin Ismail yang memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara sejak September 2010.

Pelantikan Khalid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baru telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menggantikan Hussin yang bersara wajib pada usia 58 tahun esok, katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini, Rabu.

Khalid, yang dilahirkan pada 5 September 1957 di Seremban, Negeri Sembilan, memasuki perkhidmatan polis pada 5 Disember 1976 sebagai Inspektor polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Beliau yang juga bekas Ketua Polis Selangor pernah menyandang beberapa jawatan termasuk Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah 1 Bukit Aman (2006), Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Ketua Polis Daerah Kuantan (2003), Ketua Jabatan Pengurusan Pahang (2003) dan Ketua Jabatan Narkotik Kedah (1997).

Sambil menyifatkan amanah yang diberikan begitu mencabar, Khalid berjanji akan menjalankan tugas dengan baik untuk memartabatkan pasukan polis selaras dengan misi dan visi pasukan.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan dan Ismail kerana memberi kepercayaan kapadanya untuk memikul tanggungjawab itu.

"Saya berjanji untuk memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat dan negara dengan berpaksikan undang-undang dan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada saya," katanya.

Dalam pada itu, Hussin berkata beliau berpuas hati berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia terutama dalam sumbangan yang telah ditabur kepada pasukan itu dan juga ketenteraman negara.

"Saya yakin Khalid dapat meneruskan legasi yang akan membawa PDRM terus cemerlang dan komited. Saya selepas ini akan menghabiskan masa bersama keluarga setelah tidak dapat melakukannya sebelum ini," katanya.

Hussin yang dilahirkan pada 15 April 1953 di Muar, Johor telah mencurah bakti pada pasukan PDRM selama 39 tahun dan empat bulan termasuk dengan memegang jawatan Pengarah KDN/KA pada 2008, Ketua Polis Johor (2006), Ketua Polis Terengganu (2004) dan Ketua Cawangan Khas Perak (2002).

Sementara itu, majlis Paluan Berundur sempena persaraan Hussin diadakan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, petang ini.

Hussin kemudian memeriksa perbarisan pada majlis itu yang turut dihadiri oleh Ismail dan Khalid.

Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan pancaragam PDRM dan lintas hormat tiga helikopter pasukan itu. - BERNAMA

Artikel Lain