suria

APMM Patahkan Percubaan Seludup Gula dan Gas Masak

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkalan di Kuala Linggi di sini menahan tiga awak-awak dan merampas 31 tong gas memasak serta bungkusan-bungkusan gula pasir yang cuba diseludup ke negara jiran, selepas memeriksa sebuah bot kira-kira satu batu nautika dari Kuala Kesang dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 5, Kapt Maritim Ibrahim Mohamed berkata tiga awak-awak berumur antara 25 dan 62 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 1 tengah hari kerana disyaki menyeludup barang kawalan itu yang dianggar bernilai RM3,500.

"Kegiatan mereka terbongkar apabila anggota APMM memeriksa sebuah bot tukar barang yang baru keluar dari jeti tukar barang Sungai Rambai di daerah Jasin, iaitu kira-kira satu batu nautika dari Kuala Kesang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas diperiksa, pihaknya menemui 31 tong gas memasak LPG yang setiap satu seberat 14 kg, enam tong gas tidak berisi dan 98 bungkusan gula pasir yang setiap satu seberat 1 kg, disorok di bawah timbunan tong plastik kosong dalam bot itu.

Katanya, kes itu diserahkan kepada pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Melaka untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun.

Bot yang didaftar di negara jiran itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke negaranya selepas menghantar kayu bakau di jeti tukar barang Sungai Rambai.

Modus operandi yang sama dipercayai digunakan oleh beberapa bot tukar barang lain iaitu dengan menyorok barang kawalan di bawah timbunan barang lain bagi mengaburi dan menyukarkan pemeriksaan anggota penguatkuasa di laut.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain