14 Termasuk Lima Wanita Ditahan Berhimpun Di Luar DUN Perak - Semasa | mStar

14 Termasuk Lima Wanita Ditahan Berhimpun Di Luar DUN Perak

IPOH: Polis menahan 14 orang termasuk lima wanita kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit dan berdemonstrasi, di luar bangunan Dewan Undangan Negeri Perak, semasa Dewan sedang bersidang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata mereka ditahan ketika berarak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dengan membawa beberapa keping poster antara pukul 10 pagi dan 11.30 pagi.

"Mereka didapati engkar dan tidak meninggalkan kawasan itu selepas polis mengeluarkan arahan supaya berbuat demikian," katanya kepada pemberita disini, Rabu.

Beliau berkata perbuatan mereka juga menghalang kelancaran lalu lintas, dan polis terpaksa bertindak menahan dan membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk tindakan selanjutnya.

Kesemua mereka yang berasal dari Buntung itu mengadakan perhimpunan tersebut bagi meminta kerajaan negeri menyelesaikan isu berkaitan tuntutan tanah.

Azisman berkata mereka ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27 kerana berhimpun tanpa permit, dan menurutnya mereka dijangka akan dibebaskan petang ini selepas polis selesai mengambil keterangan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain