suria

Bandar Gabungan Kuantan Kelompok Bandar Utama Baru Negara

PEKAN: Kerajaan akan memberi fokus membangunkan bandar gabungan Kuantan sebagai sebuah kelompok bandar utama yang baru di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, bandar gabungan Kuantan yang merangkumi kawasan bandar Kuantan, Gambang, Gebeng, Pelabuhan Kuantan serta daerah Pekan dikenal pasti sebagai pusat pertumbuhan utama yang akan memacu pembangunan dan mengimbangi ketidakseimbangan antara wilayah dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Kita harap konurbasi Kuantan ini akan menjadi pengelompokan bandar utama yang baru selepas Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru," katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Pemasaran Setempat (CMC) di Taman Automotif Pekan di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, beberapa projek berimpak besar termasuk pengembangan Pelabuhan Kuantan dan Taman Automotif Pekan yang dilaksanakan kini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar gabungan itu.

"Kita menjangkakan pengembangan pelabuhan Kuantan akan siap pada 2015 dan saya juga dimaklumkan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) sudahpun melaksanakan fasa kedua Taman Automotif Pekan yang merangkumi keluasan 95 hektar," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Najib berkata, kerajaan melalui ECERDC telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pengeluar kereta luar negara yang berminat memasang kenderaan mereka termasuk membangunkan prasarana bagi kenderaan mesra alam di Taman Automotif Pekan.

"Sebab itu kita membuat kompleks pemasaran setempat di sini supaya pusat ini boleh mengendalikan sebarang permintaan dan maklumat lanjut tentang peluang-peluang yang boleh mereka perolehi jika mereka tempatkan perusahaan mereka di sini," katanya.

Ditanya mengenai jangka waktu pelaburan pengeluar kereta luar negara itu dapat menjadi kenyataan, Perdana Menteri berkata, sukar meletakkan jangka waktu namun proses membawa masuk syarikat tersebut akan terus dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama antara DRB-Hicom dan Volkswagen AG daripada Jerman untuk pemasangan kereta jenama terkenal itu akan bermula pada suku keempat tahun ini dengan pemasangan kereta Volkswagen model Passat diikuti Jetta dan Polo.

"Kita bermula dengan Volkswagen dan kita harap pengeluar kereta luar negara yang lain mahu mewujudkan pemasangan kenderaan mereka di sini," katanya.

Katanya, kerajaan juga sedia menimbang memberi insentif khas selain insentif sedia ada melalui Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) khusus kepada projek yang berimpak besar.

"Kalau ada pelaburan teristimewa, kita boleh menimbangkan insentif mengikut tempahan bergantung kepada keputusan yang dibuat Majlis Ekonomi kalau ada sesuatu pelaburan yang memberi kesan dan impak yang besar, mereka boleh diberi pertimbangan istimewa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain