suria

Kit Siang Persoal Tindakan Sebar Video Seks Dalam Internet

SIBU: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini (Selasa) mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang memuat naik video seks, yang dikaitkan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi YouTube tengah hari semalam.

Beliau berkata, tayangan video itu di Carcosa Seri Negara, kira-kira tiga minggu lepas, menunjukkan politik paling kotor di Malaysia.

Bagaimanapun, tindakan menyebarkan video itu menerusi laman web semalam adalah yang paling kotor.

"Kenapa hanya sebelum hari penamaan calon? Ini menunjukkan politik yang kotor," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau mendakwa tindakan menyebarkan video itu di ruang siber bertujuan mewujudkan kesan paling buruk dalam pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini.

Penamaan calon bagi pilihan raya negeri ke-10 itu akan diadakan esok.

Bagaimanapun, Kit Siang tidak menamakan pihak yang bertanggungjawab memuat naik visual itu, yang berlangsung selama satu minit 47 saat.

Video bertajuk'VTS 01 1' dimuat naik dalam YouTube tetapi dikeluarkan menjelang tengah malam semalam.

Anwar, yang kini mengadakan kempen di Sarawak dan berada di sini semalam, menafikan beliau adalah lelaki dalam video itu. - BERNAMA

Artikel Lain