suria

Kastam Sabah Rampas 2.7 Kg Dadah, Lelaki Ditahan Di KKIA

KOTA KINABALU: Seorang lelaki rakyat asing yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Khamis lepas.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah hari semasa tiba dari Singapura apabila pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menemui 2.7 kilogram dadah dipercayai jenis ketamin dalam beg yang dibawa lelaki terbabit.

"Lelaki itu membawa 45 helai kain ela dalam beg. Kesemua dadah itu ditemui disembunyikan dalam 10 helai kain ela yang dibawanya," kata Pengarah Kastam Negeri Sabah Mohd Kassim Ismail pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Beliau berkata lelaki itu kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Sementara itu, Mohd Kassim berkata KDRM Sabah memungut hasil sebanyak RM355.5 juta tahun lepas, melebihi sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2010 iaitu RM347.2 juta.

JKDM Sabah menetapkan unjuran hasil bagi tahun 2011 pada RM363 juta, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain