suria

Mungkinkah Anggota BN Lain Turut Tangguhkan Pemilihan?

KUALA LUMPUR: Selepas UMNO, parti terbesar dalam Barisan Nasional (BN), memutuskan untuk menangguhkan pemilihannya yang dijadualkan tahun depan hingga selama 18 bulan, banyak pihak menjangka beberapa parti komponen B Nlain akan turut menjejak langkah yang sama.

Antaranya parti Gerakan, yang sepatutnya mengadakan pemilihannya tahun depan.

"CC (Jawatankuasa Pusat Gerakan) akan bermesyuarat pada 18 Dis ini untuk membincangkan perkara itu. Sebelum itu, CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat) juga akan membincangkan perkara serupa," kata timbalan presidennya Datuk Chang Ko Youn kepada Bernama.

Beliau berkata Gerakan pernah menangguhkan pemilihannya pada 2007 berikutan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada awal Mac 2008 dan mengadakannya selepas itu.

"Terdapat pelbagai pandangan tentang perkara ini, tapi secara umumnya, beberapa pemimpin berpendapat lebih baik parti itu menangguhkan pemilihannya untuk mengurangkan perbalahan dalaman. Sekiranya pemlihan diadakan tahun depan, semua orang akan merebut jawatan, dari peringkat bahagian hinggalah ke peringkat nasional.

"Sebab itulah, kami percaya, lebih baik kami tangguhkan pemilihan parti supaya setiap orang boleh memberi tumpuan terhadap pilihan raya umum yang amat penting bagi kelangsungan hidup parti," katanya.

Bagi MCA, anggota kedua terbesar dalam BN, pemilihannya pada tahun depan akan diadakan seperti yang dijadualkan, melainkan jawatankuasa pusat (CC) parti itu membuat keputusan sebaliknya.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Kong Cho Ha berkata: "Pemilihan parti tetap diadakan mengikut jadual...setakat ini belum ada rancangan untuk menangguhkannya.

"Kalau kami menangguhkan pemilihan parti, ada syarat tertentu yang perlu kami penuhi terlebih dahulu sebelum boleh berbuat demikian," katanya.

Datuk Ti Lian Ker, seorang anggota CC, berkata mengikut perlembagaan parti itu, MCA hanya boleh menangguhkan pemilihan jika ada pilihan raya umum dan itupun, ia hanya boleh ditangguhkan untuk tempoh tertentu sahaja.

"Lagipun, mengikut perlembagaan, kami tak boleh sewenang-wenangnya menangguhkan pemilihan parti kerana terdapat syarat tertentu yang menyatakan bahawa ia hanya boleh ditangguhkan selepas tiga tahun setengah pilihan raya umum terakhir diadakan. Daripada segi teknikal, kami hanya boleh berbuat demikian menjelang September," katanya.

Ti berkata walaupun masih terlalu awal bagi kepimpinan parti itu membuat keputusan tentang perkara berkenaan, tetapi beberapa anggotanya percaya mesyuarat CC pada 13 Dis ini akan memberi beberapa petunjuk mengenainya walaupun perkara ini telah disuarakan pada mesyuarat sebelum ini.

Pada 2007, MCA menangguhkan pemilihannya di semua bahagian hingga selepas pilihan raya umum pada Mac 2008, yang menyaksikan Datuk Seri Ong Tee Keat dipilih sebagai presiden dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai timbalan beliau.

Bagaimanapun, parti itu kemudiannya dilanda krisis dalaman hingga memerlukan pemilihan baru bagi jawatan tertinggi atau barisan kepimpinan di peringkat pusat diadakan pada Mac tahun ini yang membawa kepada pemilihan Dr Chua sebagai presidennya yang baru.

MCA perlu mengadakan pemilihan di semua peringkat untuk memilih penyandang jawatan bagi penggal tiga tahun kerana pemilihan yang diadakan pada Mac tahun ini untuk barisan kepimpinan tertingginya, hanya meliputi baki tempoh semasa yang akan berakhir pada Oktober tahun depan.

Bagaimanapun, perkara ini tidak menjadi isu bagi kebanyakan parti komponen BN lain, khususnya dari Sabah dan Sarawak kerana mereka telah mengadakan pemilihan masing-masing pada tahun ini, kecuali Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang dijadualkan mengadakan pemilihannya pada akhir tahun depan.

"Kami tak ada rancangan untuk menangguhkannya. Tidak menjadi masalah bagi kami kerana pilihan raya negeri perlu diadakan sebelum Julai tahun depan. Pemilihan dalam parti kami, terutama di peringkat cawangan, hanya akan bermula selepas itu. Ia tidak begitu menjejaskan kami," kata Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam kepada Bernama di sini.

Artikel Lain