suria

Insurans Pekerja Asing Tahun Depan

PUTRAJAYA: Semua pekerja asing di negara ini, kecuali pembantu rumah dosmetik, diwajibkan memiliki insurans kesihatan dengan premium maksimum sebanyak RM120 setahun mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu bagi memastikan tunggakan bayaran bil hospital yang kini mencecah RM18 juta tidak membebankan kerajaan.

"Kerajaan terpaksa menanggung kos tersebut kerana sesetengah pekerja asing yang mendapat rawatan di hospital kerajaan tidak menjelaskan bil atau hanya sebahagian bayaran.

"Kita berharap dapat mengatasi masalah ini dengan perlindungan insurans kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Khamis.

Liow berkata, majikan perlu membeli insurans ketika melakukan proses permohonan permit sebelum membawa masuk setiap pekerja asing.

Bagi pekerja asing sedia ada, majikan diwajibkan mengemukakan salinan polisi insurans ketika memperbaharui permit kerja mereka.

"Perlindungan insurans untuk pekerja asing ialah salah satu daripada enam projek permulaan (EPP).

"Dua lagi EPP yang telah mula dilaksanakan adalah mewujudkan sistem yang sesuai untuk menyokong pembangunan penyelidikan selain mencergaskan semula pelancongan kesihatan," tambahnya.

Liow berkata, tiga lagi EPP yang masih dalam peringkat perancangan ialah meneroka peluang eksport generik, mewujudkan nexus perkhidmatan diagnostik dan membangunkan metropolis kesihatan iaitu sebuah kampus penjagaan kesihatan dan biosains bertaraf dunia.

Bagaimanapun, persoalan siapa yang akan membayar premium insurans kesihatan - sama ada majikan atau pekerja - masih belum terjawab.

Dalam reaksi sejurus itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat perlindungan insurans kesihatan yang perlu ditanggung oleh 1.5 juta pekerja asing di sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan.

"Bil tertunggak di hospital kerajaan tidak begitu tinggi. Kenapa premium insurans itu begitu tinggi?" kata Pengarah Eksekutif nya, Shamsuddin Bardan.

MEF, tambah beliau, mencadangkan perlindungan tersebut bermula dari RM50,000 berbanding RM100,000 untuk setiap pekerja.

Kata Shamsuddin, kerajaan telah melantik 31 syarikat insurans untuk menyediakan perlindungan pampasan untuk pekerja asing.

Beliau berkata, lebih 200,000 majikan akan membantu pekerja asing memastikan syarikat-syarikat tersebut melanjutkan perlindungan itu supaya meliputi perubatan.

"Perlindungan itu untuk semua penyakit yang dialami pekerja asing semasa berkerja, termasuk penyakit-penyakit kritikal," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain