suria

Warga Vietnam Mati Ditikam Rakan Selepas Bergurau

JITRA: Mula-mula bergurau, kemudian bertengkar, lepas itu kena bunuh, demikian nasib yang dialami seorang warga Vietnam yang mati ditikam rakannya di asrama pekerja di Pekan Jitra 2 malam tadi.

Nguyen Banthey, 24, ditikam sekali di dada kirinya dengan pisau oleh rakannya yang berumur sekitar 30-an.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supritendan Sawaluddin Hamenuddin, mangsa dan suspek sebelum itu sedang berbual-bual sambil bergurau di tingkat atas bangunan rumah kedai dua tingkat itu yang dijadikan asrama pekerja, kira-kira 9 malam sebelum kedua-duanya bertengkar sehingga berlaku pembunuhan.

Lima warga Vietnam termasuk mangsa dan suspek menghuni sebuah bilik bangunan itu yang kesemua mereka merupakan pekerja kilang membuat topi keledar di Sungai Korok.

Sawaludin berkata suspek melarikan diri selepas kejadian itu tetapi kemudiannya ditahan polis ketika sedang berjalan seorang diri kira-kira satu kilometer dari asrama tersebut.

Beliau berkata polis turut menahan tiga yang lain itu untuk disoal siasat.

Bangunan rumah kedai tersebut disewa oleh pihak kilang itu untuk menempatkan 15 pekerja yang kesemuanya warga Vietnam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain