suria

Talian Nur Tidak Terima Panggilan Kes Buang Bayi

KUALA LUMPUR: Talian Nur bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menerima pertanyaan, aduan dan permohonan berkaitan penderaan, pengabaian, keganasan rumah tangga dan skim bantuan kebajikan belum pernah menerima panggilan berkenaan kes pembuangan bayi sejak dilancarkan pada 5 Dis 2007.

Timbalan Menterinya, Senator Heng Seai Kie berkata talian itu paling banyak menerima pertanyaan berkaitan bantuan iaitu 13,986 panggilan (36.4 peratus), 6,031 panggilan (15.7 peratus) berkenaan kaunseling dan psikologi serta aduan mengenai warga tua dan keluarga iaitu 3,271 atau 8.5 peratus.

"Sebanyak 3,002 panggilan (7.8 peratus) bagi pertanyaan mengenai kanak-kanak manakala 242 atau 0.6 peratus panggilan lagi berkenaan perundangan dan advokasi," katanya menjawab pertanyaan Datuk Abdul Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) mengenai jumlah panggilan yang diterima melalui talian Nur 15999 dan jenis kes yang dirujuk termasuk kes pembuangan bayi.

Heng berkata, sehingga 7 November lepas, Talian Nur menerima 125,721 panggilan sejak dilancarkan dengan hanya 38,437 daripadanya merupakan panggilan produktif.

"Bagi panggilan produktif, sejumlah 34,221 panggilan berjaya diselesaikan oleh 'call agent' yang menerima panggilan manakala 4,216 panggilan dipanjangkan kepada agensi kementerian lain," katanya.

Seramai 29 'call agent' dilantik terdiri daripada pelbagai bangsa yang boleh menjawab sebarang pertanyaan, aduan dan permohonan dalam pelbagai bahasa antaranya bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin, Iban, Bidayuh dan Hokkien. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain