suria

300,000 Lagi Netbook 1Malaysia Diagih Bulan Depan

CYBERJAYA: Sebanyak 300,000 unit Netbook 1Malaysia akan diedar kepada golongan yang layak bulan depan dalam fasa kedua program pemberian komputer riba itu secara percuma oleh kerajaan.

Agihan netbook itu akan dibuat bagi tempoh tiga bulan, kata Pemangku Pengarah Kanan Bahagian Peruntukan Perkhidmatan Sejagat (USP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zulkarnain Mohd Yassin kepada pemberita selepas majlis taklimat media mengenai pengurusan USP di sini pada Isnin.

Yang turut hadir Pengerusi SKMM Tan Sri Khalid Ramli.

Dalam fasa pertama, sebanyak 123,000 unit netbook telah diagihkan kepada kumpulan sasar terdiri isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 bagi kawasan luar bandar dan bawah RM5,000 bagi kawasan bandar.

Sebanyak 65 peratus komputer itu diagihkan kepada pelajar manakala 35 peratus lagi dibahagikan kepada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan kurang liputan serta kawasan yang mempunyai perkhidmatan itu dengan sasaran pengagihan meliputi kampung tradisi, kampung baru dan pusat penempatan masyarakat setempat di seluruh negara.

Zulkarnain berkata pemberian Netbook 1Malaysia dengan kos RM1 bilion itu merupakan antara projek di bawah USP membabitkan kos keseluruhan RM4.79 bilion.

Katanya antara projek lain ialah penyediaan telefon asas (RM629 juta), menara telekomunikasi bagi peluasan liputan selular (RM1.87 bilion) dan pusat jalur lebar komuniti (RM573.7 juta).

Zulkarnain berkata program pemberian netbook itu dijangka dapat menyumbang sebanyak 9 hingga 10 peratus kepada kadar penembusan jalur lebar negara.

Beliau juga berkata SKMM akan membelanjakan RM3.3 bilion bagi projek-projek di bawah USP fasa kedua bagi tempoh 2009-2011.

Selain projek pemberian netbook, ia turut membabitkan Kampung WiFi dengan kos (RM520 juta), Pusat Jalur Lebar Komuniti Mini (RM10 juta) dan Pusat Jalur Lebar Komuniti ke Rumah (RM150 juta), katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain