suria

401 Rakyat Malaysia Terkandas Selamat Pulang Ke Tanah Air

PETALING JAYA: Seramai 401 rakyat Malaysia yang terkandas di Yogyakarta, Solo, Indonesia berikutan kejadian letusan Gunung Merapi selamat tiba di tanah air malam Ahad.

Kesemua mereka dibawa pulang menaiki tiga pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mendarat di Pangkalan TUDM Subang dekat sini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata rakyat negara ini yang masih lagi terkandas di sana akan dibawa pulang pada Isnin menggunakan pesawat yang sama.

"Alhamdulillah pada jam 10.30 pagi tadi saya bersama 25 orang daripada pelbagai agensi telah ke Solo dengan kapal terbang C-130 dan akhirnya kami berjaya membawa 401 rakyat Malaysia pulang," katanya kepada pemberita sejurus ketibaannya di tanah air.

Beliau berkata terdapat seramai 42 pelajar di sebuah pesantren di Magelan, Yogjakarta yang telah memutuskan untuk tidak pulang ke Malaysia, sebaliknya meminta supaya dihantar ke Jakarta.

"Mereka telahpun meminta kita supaya dihantar ke Jakarta...ini kerana di sana ada cawangan pesantren mereka di sana," katanya.

Junaidy berkata masih terdapat kira-kira 38 pelajar klinikal yang berada di Yogyakarta kerana membantu mangsa letusan gunung berkenaan.

Sekiranya mereka mahu pulang kerajaan Malaysia akan mengatur kepulangan mereka, katanya.

Selain itu katanya, beberapa pegawai Kedutaan Malaysia masih berada di Yogyakarta bagi memantau keadaan di sana.

"Mereka masih lagi mencari rakyat Malaysia yang masih berada di sana kalau ada...InsyaAllah kedutaan akan membantu mereka keluar dari Yogyakarta," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain