suria

Mangsa Banjir Di Utara Perlis Dipindahkan

KANGAR: Hujan lebat berterusan selama lebih 24 jam menyebabkan beberapa kawasan di utara Perlis dilanda banjir sejak malam tadi.

Sehingga 12.30 tengah hari ini, seramai 286 mangsa daripada 117 keluarga telah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, pusat-pusat pemindahan dibuka di Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup, Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan dan Dewan Orang Ramai Titi Tinggi Hilir.

Hujan masih turun di seluruh Perlis dengan pasukan penyelamat bersedia untuk memindahkan lebih banyak mangsa.

Tinjauan mendapati kerja-kerja memindahkan mangsa sedang dilakukan dan antara kawasan yang teruk terjejas ialah Titi Tinggi, Panggas dan Batu Bertangkup.

Beberapa batang jalan raya juga dinaiki air termasuk Jalan Kaki Bukit di kawasan Beseri dan jalan Titi Tinggi.

Kesemua enam pintu pelepasan air di Empangan Timah Tasoh telah dibuka ekoran paras air di empangan itu yang meningkat. -BERNAMA

Artikel Lain