SEORANG wanita tergamak bersekongkol dengan kekasihnya untuk membunuh anak kandung sendiri, hanya kerana kanak-kanak lelaki itu dianggap sebagai penghalang cinta mereka. Dalam kejadian menyayat hati di Meerut, Uttar Pradesh, India, suspek yang dikenali sebagai Gurpreet Kaur ditahan selepas kekasihnya, Arpit Sharma, mengaku membunuh kanak-kanak berusia enam tahun itu sebelum membuang mayatnya di sebuah kawasan hutan di Hastinapur.Misteri kehilangan mangsa mula terbongkar pada 16 Jun lalu apabila neneknya membuat laporan di Balai Polis Bahsuma.Warga emas itu mendakwa cucunya dilarikan oleh Arpit dengan menaiki sebuah kereta jenis WagonR.Bimbang dengan keselamatan kanak-kanak itu, pihak polis segera menubuhkan beberapa pasukan khas.Hasil risikan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), data pemantauan, dan bukti teknikal akhirnya berjaya menjejaki suspek.Ketika disoal siasat, Arpit didakwa mengaku membawa mangsa ke sebuah kawasan ladang sebelum membunuh dan menyembunyikan mayatnya. Polis kemudian menemukan mayat mangsa bersama senjata yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan serta kenderaan terbabit.Siasatan lanjut turut membawa kepada penahanan ibu mangsa, selepas polis menjumpai mesej perbualan, rekod panggilan video dan bukti komunikasi digital yang didakwa menunjukkan wujudnya pakatan antara kedua-dua suspek.Polis mendakwa wanita itu mengetahui lebih awal mengenai rancangan untuk membunuh anaknya dan turut memainkan peranan dalam perancangan tersebut. Ketika disoal siasat, dia juga didakwa mengaku mengetahui niat kekasihnya untuk membunuh mangsa.Superintenden Polis Luar Bandar Meerut, Abhijeet Kumar berkata, bukti digital yang diperoleh sepanjang siasatan mengukuhkan penglibatan kedua-dua suspek dalam jenayah berkenaan.Pihak berkuasa percaya kanak-kanak itu dibunuh kerana dianggap menghalang hubungan antara Sharma dan Kaur.Kes tersebut mencetuskan kemarahan penduduk setempat, manakala proses perundangan terhadap kedua-dua suspek sedang diteruskan. -Agensi