suria

Kompleks Budaya Untuk Semua Kaum - Rais

SEREMBAN: Kompleks Budaya adalah satu kemudahan untuk semua kaum menonjolkan ciri-ciri kebudayaan ke arah memupuk semangat 1Malaysia, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya kementerian memastikan Sarawak, Johor dan Selangor yang belum mempunyai Kompleks Budaya sendiri akan memperolehnya menjelang berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-10.

"Kita akan cuba berusaha supaya tiga negeri tersebut akhirnya mempunyai Kompleks Budaya sendiri. Kompleks Budaya ini akan digunakan oleh semua kaum," katanya kepada pemberita selepas melawat auditorium Kompleks Budaya Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Auditorium berharga RM9 juta dan boleh menampung 500 penonton dalam satu masa itu siap pada Ogos tahun lepas.

Ia dijangka dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz pada Oktober ini.

Rais berkata Kompleks Budaya juga perlu mengadakan program kesinambungan budaya bagi menonjolkan ciri budaya negeri berkenaan.

"Jadi kalau di Negeri Sembilan, penonjolan ciri budaya utamanya ialah Adat Perpatih," katanya.

Rais juga berkata kementerian berhajat untuk mewujudkan Yayasan Adat Perpatih atau badan amanah Adat Perpatih di Negeri Sembilan yang antara lainnya bertujuan menjalankan penyelidikan mengenai Adat Perpatih.

"Kita ingin melihat supaya fahaman masyarakat tentang Adat Perpatih itu terletak pada asas yang benar. Misalnya, apakah ciri-ciri Adat Perpatih yang masih ada di bawah lindungan Perlembagaan Negeri Sembilan.

"Apakah hubungan 'Tanah Mengandung' di Seri Menanti dengan Luak Sungai Ujong, Luak Jelebu, Luak Johol dan Luak Rembau serta luak yang dikuasai Tunku Besar Tampin.

Perkara seperti ini, oleh kerana tidak diselami menerusi penyelidikan, menyebabkan banyak pihak salah faham," katanya.

Rais berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan yang bersetuju bekerjasama dengan kementerian untuk menubuhkan Yayasan Adat Perpatih atau badan amanah Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

"Kami akan berusaha untuk merakyatkan lagi Adat Perpatih di Negeri Sembilan sebagai satu daripada tarikan pelancongan dan kesinambungan sosio ekonomi masyarakat di Negeri Sembilan sendiri," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain