suria

Pelajar UiTM Machang Lemas Di Tempat Perkelahan

BESUT: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan ditemui mati lemas setelah terjatuh di tempat perkelahan Lata Tembakah, Pasir Akar di sini, Sabtu.

Mohd Shah Akmal Khalid, 19, dari Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor dipercayai tergelincir lalu jatuh ke dalam sungai dan tenggelam dibawa arus deras pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata penuntut itu dikatakan datang berkelah di kawasan perkelahan itu bersama rakan-rakannya yang lain.

"Semasa kejadian, mangsa dikatakan berada di tingkat dua tempat perkelahan itu," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Kamaruddin berkata mayat penuntut itu dijumpai kira-kira 15 minit kemudian oleh orang ramai yang mencarinya di kawasan perkelahan itu. - BERNAMA

Artikel Lain