suria

Adik-Beradik Bookie Judi Piala Dunia Ditahan

KUALA LUMPUR: Dua adik-beradik yang bekerja sebagai arkitek ditahan malam tadi ketika leka menjalankan perjudian dalam talian (online) untuk bola sepak Piala Dunia yang dipercayai melibatkan nilai pertaruhan RM5 juta sejak kejohanan itu bermula.

Kedua-dua mereka yang berumur 33 dan 35 tahun ditahan kira-kira 11 malam di rumah mereka di Jalan Grik, Taman Rainbow, di sini selepas risikan terperinci dilakukan.

Pegawai Operasi Bahagian Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ASP Goh Chee Kiat berkata rumah teres tiga tingkat itu dipasang kamera litar tertutup dan alat pengesan laser.

Beliau berkata polis yang pada mulanya gagal memasuki rumah itu, bertindak memanjat pintu pagar lalu memecahkan pintu gril rumah tersebut tanpa disedari penghuninya.

"Terdapat kamera litar tertutup dan alat pengesan laser yang dipasang dalam kawasan rumah terbabit namun kedua-dua beradik itu gagal menghidu kehadiran kami sehinggalah kami berjaya menahan mereka di tingkat teratas rumah itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam tadi.

Apabila menyedari kehadiran polis, mereka cuba mematikan suis sebuah komputer yang pada skrinnya tertera pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia.

Goh berkata komputer itu dirampas dan mereka berdua ditahan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

Kes itu merupakan yang pertama di sekitar Lembah Kelang sejak Ops Soga dilancarkan bagi mengesan sindiket perjudian Internet di seluruh negara sempena bola sepak Piala Dunia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain