suria

46 PATI, 16 GRO Warga Asing Ditahan

PULAU PINANG: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 46 pendatang tanpa izin (PATI) dalam tiga serbuan berasingan di tiga buah rumah di Jalan Siam, Pengkalan Weld dan Jalan Chowrasta, di sini, awal pagi ini.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri Abdul Rahman Hassan berkata daripada jumlah PATI yang ditahan itu, 24 orang adalah lelaki warga Bangladesh dan India manakala 22 lagi adalah wanita rakyat Thailand dan Indonesia.

Ops Selera itu dijalankan oleh 20 pegawai dan anggota jabatan itu yang bermula pada pukul 8 malam dan berakhir 4 pagi tadi, katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan pihaknya terpaksa memecah masuk ke dalam rumah tersebut berikutan keengganan PATI itu membuka pintu.

"Ada rumah yang dikunci dari luar untuk mengaburi mata pihak kami dan kami terpaksa pecahkannya untuk masuk ke dalam bagi menahan PATI itu," katanya.

Abdul Rahman berkata, ada di antara PATI wanita itu dipercayai dijadikan pelacur untuk PATI warga Bangladesh di rumah berkenaan.

"Dalam serbuan sebuah rumah di Pengkalan Weld, pihak kami menemui sepasang lelaki dan perempuan warga Indonesia dan Bangladesh dalam keadaan tidak berpakaian," katanya.

Kesemua PATI itu dipercayai menyewa di ketiga-tiga rumah tersebut.

Sementara itu, pihaknya turut menahan 16 pelayan pelanggan warga Thailand dan Indonesia dalam satu serbuan di sebuah rumah urut di Sungai Dua, di sini, malam semalam.

Beliau berkata 10 pelayan pelanggan itu warga Thailand serta enam orang lain adalah warga Indonesia tidak mempunyai pasport dan mereka dihantar ke Depot Tahanan Juru untuk tindakan selanjutnya.

Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1963, kerana kesalahan tidak mempunyai pasport yang sah dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun, denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya serta sebatan. -BERNAMA

Artikel Lain