suria

31,000 Baki Dos Vaksin Untuk Dihabiskan Sebelum Tarikh Luput

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan masih mempunyai baki 31,000 dos vaksin influenza A(H1N1) untuk dihabiskan sebelum tarikh luput vaksin berkenaan pada Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, daripada sejumlah 400,000 dos vaksin yang diperolehi kementerian itu, lebih 300,000 telah diberikan kepada anggota barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

"Kita yakin ia (vaksin) akan dapat dihabiskan sebelum tarikh luput iaitu pada Oktober 2010," katanya menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohamed ingin tahu sejauh mana tahap penularan penyakit H1N1 dalam negara serta jumlah kes yang telah direkodkan.

Liow berkata, sehingga semalam, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) berjumlah 15,076 kes dengan 88 kematian.

Daripada jumlah itu, 12,307 kes dengan 77 kematian dilaporkan berlaku pada tahun lepas, manakala 2,769 kes dengan 11 kematian dilaporkan sehingga 14 Jun 2010, katanya.

"Oleh itu, adalah tidak benar bahawa bilangan kematian disebabkan oleh H1N1 telah bertambah. Walaupun terdapat trend peningkatan kes jangkitan virus pandemik influenza A(H1N1) di Malaysia bermula April 2010, tetapi situasi jangkitan ini adalah terkawal dan trend ini telah menunjukkan penurunan sejak lima minggu lepas," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain