suria

Jadikan Malaysia Model Negara Toleransi Agama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat negara ini terus menjadikan Malaysia sebagai sebagai negara model yang menonjolkan toleransi agama serta keharmonian antara kaum.

Beliau berkata, perkara itu boleh dicapai dengan mengamalkan pendekatan sederhana sambil menolak ekstremisme.

Kata beliau, penganut Buddha mengamalkan pendekatan jalan tengah yang menekankan kesederhanaan.

"Bagi Malaysia menangani pelbagai cabaran seperti kemiskinan serta mentransformasikan Malaysia menjadi negara kepada berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun, hak asasi setiap kaum mestilah diseimbangkan.

"Tiada sesiapa boleh memiliki segala-galanya. Kadang-kala, kita perlu berkorban sesuatu demi kebaikan bersama," katanya semasa berucap pada Hari Terbuka Wesak di Kuil Buddha Maha Vihara sini hari ini.

Hadir sama termasuk Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Kira-kira 5,000 penganut Buddha hadir pada upacara keagamaan itu.

Dalam pada itu, Najib berkata, kecenderungan untuk memahami kaum lain adalah suatu nilai yang penting.

Beliau berkata, sikap berkenaan akan menghapuskan sifat tamak dan iri hati.

Sementara itu, Najib secara berseloroh menyambut pelawaan Ketua Sami, K. Sri Dhammaratana untuk sama-sama meraikan Hari Wesak setiap tahun sambil berkata:

"Saya hanya dapat penuhi sekiranya rakyat menyokong dan mepilih saya sebagai Perdana Menteri pada masa depan."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain