133 Pekerja Asing Ditahan Di Tapak Pembinaan - Semasa | mStar

133 Pekerja Asing Ditahan Di Tapak Pembinaan

JOHOR BARU: Jabatan Imigresen Johor menahan 133 pekerja asing termasuk dua wanita yang bekerja di tapak pembinaan Hospital Kempas di sini dalam 'Ops Mahir' selama tujuh jam yang bermula sejak pukul 11 pagi ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasanya, Masri Adul berkata, semua mereka yang berumur antara 20 dan 40 yang terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Vietnam dan India itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, dan ada yang tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Kami periksa 400 warga asing yang bekerja di tapak pembinaan itu dan mendapati 133 orang tidak memiliki dokumen perjalanan termasuk tinggal lebih masa dalam negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang merupakan penyelia tapak projek bagi membantu siasatan, dan menurutnya ada juga kalangan pekerja asing yang dapat meloloskan diri semasa serbuan dibuat.

Masri berkata, pekerja asing yang tinggal lebih dari tempoh dibenarkan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala yang tidak memiliki dokumen perjalanan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta yang sama.

Semua warga asing itu ditahan selama 14 hari bermula hari ini dan dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nenas nutuk tindakan lanjut.

Masri berkata, 150 anggota Jabatan Imigresen terlibat dalam Ops Mahir itu, dan tangkapan hari ini adalah yang terbesar dibuat pihaknya tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

RMK10 - Guru

default image

SPRM Masih Siasat PKFZ

Artikel Lain