suria

43 GRO Warga China Ditahan Di Sebuah Pusat Hiburan

PULAU PINANG: Sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri menahan 43 pelayan pelanggan (GRO) warga asing selepas menyerbu sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus di sini lewat malam tadi.

Ketua Bahagian Penguatkuasanya, Abdul Rahman Hassan berkata, serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu mengalami sedikit kesulitan selepas sekumpulan 'penjaga' yang mengawal pusat hiburan berkenaan bertindak mematikan lif bagi membolehkan GRO di premis berkenaan bersembunyi atau melarikan diri.

Bagaimanapun menurutnya usaha itu tidak berjaya selepas penguatkuasa Imigresen bertindak pantas dengan memasuki pusat hiburan yang terletak di tingkat lima bangunan pusat membeli belah itu menerusi laluan tangga.

Beliau berkata, semasa diperiksa pihaknya menemui 43 GRO warga China yang berumur antara 18 dan 35 tahun sedang bersembunyi dalam sebuah bilik kecil yang menempatkan banyak suis elektrik, di dalam premis berkenaan.

"Mereka dipercayai bekerja di premis berkenaan, di samping turut menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM100 ke atas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahman kesemua mereka didapati menyalahguna pas lawatan sosial untuk bekerja di sini, dan dihantar ke depoh tahanan di Juru dekat sini untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 40-an yang bekerja sebagai pencuci di pusat hiburan itu turut ditahan kerana tidak memiliki pas perjalanan yang sah.

"Kesemua mereka kini ditahan bagi membantu saisatan mengikut Seksyen 39B peraturan Imigresen 1959/1963 kerana kesalahan melanggar syarat pas dan permit perjalanan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, serbuan itu merupakan yang ke lima dalam bulan ini membabitkan tangkapan GRO warga asing berjumlah 132 orang yang menjalankan kegiatan tidak bermoral di pusat-pusat hiburan sekitar Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain