suria

Hospital Kerajaan, Swasta Hadapi Kekurangan Bekalan Darah

KUALA LUMPUR: Beberapa hospital kerajaan dan swasta mengalami kekurangan bekalan stok darah akibat pendermaan darah yang tidak begitu memberangsangkan sedangkan permintaannya adalah tinggi.

Hospital Pantai Kuala Lumpur umpamanya hanya mempunyai bekalan stok darah 15 unit pain sehari dan terpaksa meminta bekalan darah dari Pusat Darah Negara sekiranya berlaku kes kecemasan bekalan seperti untuk kegunaan pembedahan dan bersalin.

Pada Rabu lepas, hospital berkenaan memerlukan lebih 20 pain darah dan terpaksa meminta bantuan dari Pusat Darah Negara untuk menampung kekurangan bekalan darah hospital itu.

Pegawai Penyelidik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Lim Yen Yen berkata, walaupun hospital itu menganjurkan program derma darah bagi menampung keperluan bekalan darahnya tetapi ia tidak mendapat sambutan.

"Hanya 30 peratus sahaja penderma yang menderma berbanding sasaran kami iaitu sebanyak 70 peratus penderma melalui program derma darah yang diadakan di hospital kami pada hujung minggu dan pada hari-hari tertentu. Biasanya pun mereka terdiri kalangan pengunjung hospital sahaja," katanya.

Pegawai Makmal Transfusi Tabung Darah Hospital Serdang, Ruzaina Ariffin pula berkata, bekalan di hospital itu adalah terhad dan hanya akan meminta stok darah dari Pusat Darah Negara apabila diperlukan.

Katanya, kebanyakan kes yang memerlukan darah di hospital itu melibatkan penyakit jantung. "Kami mendapatkan stok darah secara langsung dari Pusat Darah Negara yang sentiasa bekerjasama dengan kami untuk memastikan bekalan darah terus ada," katanya.

Pegawai Juruteknologi Makmal Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Noor Azura Ismail berkata, hospital itu memerlukan 1,000 pain darah sebulan tetapi masa ini ia hanya mempunyai 600 pain.

Beliau berkata, pihak hospital itu telah mewujudkan unit bergerak pusat darahnya sendiri untuk mendapatkan bekalan darah.

Dalam usaha meningkatkan jumlah kutipan darah, Pusat Darah Negara dengan kerjasama pelbagai pihak akan menjalankan kempen menderma darah di beberapa lokasi dari 18 Jan hingga 24 Jan ini.

Orang ramai di sekitar Lembah Klang boleh menderma di unit-unit bergerak berkenaan bagi memastikan stok bank darah di hospital mencukupi.

Pada 18 Januari ini, unit bergerak Pusat Darah Negara antaranya akan berada di Blok Pasifik Wisma Rampai Setapak, Pusat Perubatan Taman Desa, The Legend Hotel Kuala Lumpur dan Concorde Hotel Kuala Lumpur, manakala pada 19 Jan pula ia akan berada di Terminal AMC KLIA Sepang dan Universiti Tunku Abdul Rahman di Setapak.

Pada 20 Januari pula kawasan yang terlibat adalah di Bursa Malaysia Bhd, UTAR Sungai Long dan Ibu Pejabat Korporat KLIA, pada 21 Jan di Hospital Sungai Buloh, MMC Corporation Bhd Jalan Sultan Ismail, Segi Training College di Sri Kembangan, Unit Pertahanan Nasional Berhad dan Institut Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur.

Pada 23 Januari, kempen derma darah akan diadakan di Jusco Cheras Selatan, Jusco Taman Maluri, Kolej Teknologi Maklumat Perubatan, KPJ Damansara Specialist Hospital dan Kelab Unity Ampang.

Pada 24 Januari pula orang ramai boleh menderma di Dewan Serbaguna Salak Selatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain