suria

Ah Long Kini Sukar Cari Makan - Abu Seman

PUTRAJAYA: "Kini Ah Long susah sikit nak cari makan," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Ini adalah hasil perang besar-besaran terhadap peminjam wang tanpa lesen itu yang dilancarkan oleh kerajaan sehingga mendorong lebih ramai orang awam membuat laporan kepada pihak berkuasa, katanya.

"Kementerian akan memastikan kegiatan haram ini berjaya dikekang dan dihapuskan sehingga ke akar umbi," katanya kepada pemberita di sini bagi menjelaskan tindakan yang diambil oleh kerajaan sepajang tahun lepas dalam membanteras aktiviti Ah Long.

Abu Seman berkata antara tindakan yang diambil ialah membatalkan 6,163 talian telefon yang diiklankan oleh Ah Long, menurunkan poster dan iklan mereka selain mengadakan ceramah, dialog dan pameran mengenai gejala itu.

Katanya papan digital elektronik akan digunakan di seluruh negara bagi menayangkan gambar-gambar ngeri penyeksaan Ah Long terhadap peminjam yang gagal membayar hutang.

Abu Seman berkata bahawa tahun lepas sebanyak 578 kes ugutan jenayah, merosakkan harta benda, menceroboh kediaman dan mendatangkan kecederaan oleh Ah Long telah dilaporkan.

"Daripada jumlah itu, 70 merupakan kes tangkapan, 431 kes masih dalam siasatan polis dan selebihnya masih lagi dalam kes perbicaraan dan pertuduhan di mahkamah," katanya.

Abu Seman berkata penubuhan satu pasukan petugas khas bagi mengekang aktiviti Ah Long didapati berkesan kerana polis dapat mengendalikan kes-kes secara spesifik, mempercepatkan siasatan dan menerima banyak aduan daripada orang ramai.

"Segala usaha yang telah dan akan diambil oleh kerajaan jelas menunjukkan bahawa tiada kompromi terhadap aktiviti Ah Long di negara ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain