suria

5,000 Sambut Kepulangan Pemangku Raja Kelantan

KOTA BAHARU: Seramai 5,000 orang termasuk pemimpin politik diketuai Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hari ini.

Tengku Muhammad Faris Petra, yang menaiki pesawat khas dari Kuala Lumpur, tiba pada 3.45 petang.

Antara pemimpin Barisan Nasional yang hadir ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Balah Datuk Abdul Aziz Derashid dan Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Nik Sapeia Nik Yusof.

Berpuluh-puluh sepanduk yang menyatakan sokongan kepada baginda dikibar di hadapan terminal lapangan terbang itu.Majlis sambutan yang berlangsung selama 20 minit itu didahului bacaan doa.

Satu memorandum turut diserahkan oleh wakil Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kelantan bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada Pemangku Raja berikutan isu melibatkan Istana Kelantan sejak akhir-akhir ini apabila Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry mengeluarkan surat bertajuk 'Penyampaian Titah KDYMM Al-Sultan Kelantan' untuk melucutkan gelaran datuk terhadap beberapa tokoh yang menerima anugerah itu daripada Sultan Kelantan.

Ekoran itu, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamad, dilaporkan sebagai berkata, hanya Tengku Muhammad Faris Petra selaku Pemangku Raja berhak sepenuhnya menyampaikan titah sepanjang ketiadaan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra yang sedang dirawat di Singapura sejak Mei tahun lepas.

Abdul Halim berkata surat bertajuk 'Penyampaian Titah KDYMM Al-Sultan Kelantan' yang ditandatangani oleh Tengku Muhammad Fakhry adalah tidak sah manakala Tengku Muhammad Faris kemudiannya mengambil beberapa tindakan termasuk melakukan rombakan dan menggugurkan Tengku Muhammad Fakhry sebagai anggota Majlis Perajaan Negeri. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain