suria

Tindakan Sendiri Halau Gajah Boleh Undang Padah: Perhilitan

JELI: Mengambil tindakan sendiri untuk menghalau gajah liar adalah tidak wajar kerana ianya satu risiko besar yang mengundang padah, kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Pazil Abdul Patah.

Beliau mengakui penduduk kampung yang menghadapi ancaman gajah sering marah kerana tanaman mereka musnah tetapi seringkali berlaku kes yang tidak diingini menimpa penduduk kampung seperti diserang haiwan itu.

"Apa yang perlu diingatkan ialah utamakan keselamatan diri terlebih dahulu kerana kita semua tahu gajah adalah haiwan yang besar dan boleh melakukan apa sahaja terhadap manusia,” katanya ketika diminta mengulas tindakan seorang penduduk Kampung Pendok dekat sini semalam yang bersama lima rakannya cuba menghalau gajah liar yang merosakkan tanaman tetapi mereka hampir maut diserang gajah berkenaan.

Pazil, yang meninjau kawasan berkenaan hari ini berkata, walaupun penduduk itu menggunakan senapang patah, tindakan mereka telah mengundang bahaya kerana ia membuatkan gajah itu mengamuk.

Katanya, kampung terbabit dan beberapa kampung lain terletak berhampiran Hutan Belum dan Hutan Temenggor yang merupakan habitat gajah terbabit.

Beliau berkata, Perhilitan sentiasa menempatkan pegawainya untuk membuat pemantauan di kawasan itu dan mengambil tindakan menghalau gajah yang didapati mengganggu tanaman penduduk kampung.

Menurut beliau, penduduk seharusnya melaporkan dengan segera kepada Perhilitan sekiranya terdapat tanda-tanda awal gajah mengganggu tanaman mereka supaya tindakan segera dapat diambil sebelum tanaman penduduk kampung dimusnahkan.

"Jika ada saja kesan gajah seperti tapak kaki atau kemusnahan tanaman, lapor pada Perhilitan, dan kita akan ambil tindakan segera," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain