suria

Firma Keselamatan Dalam Kes TNB Lakukan Tiga Kesalahan-Ahmad Fuad

PUTRAJAYA: Syarikat kawalan keselamatan, yang kakitangannya secara tidak sengaja tertembak dua kanak-kanak di pusat perkhidmatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Klang Lama, didapati melakukan tiga kesalahan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Keselamatan) Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz berkata siasatan kementerian itu mendapati syarikat berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Agensi Swasta 1971 dan Surat Pekeliling mengenai Agensi Swasta 1, 2006.

"Syarikat itu melakukan satu kesalahan serta bersikap cuai dan melanggar Akta serta surat pekeliling berkenaan. Pertama, syarikat itu mengambil bekerja pengawal keselamatan berumur lebih 60 tahun.

"Kedua, pengawal keselamatan berkenaan tidak menjalani proses penapisan rekod keselamatan dan syarikat terbabit tidak memiliki lesen untuk menggunakan senjata api.

Kementerian ini telah menghantar surat tunjuk sebab kepada syarikat itu dan memberi tempoh tiga hari kepadanya bagi menjawab kenapa lesennya tidak boleh digantung atau dibatalkan," kata Ahmad Fuad.

Beliau berkata siasatan kementerian itu juga mendapati pengawal keselamatan yang terlibat dalam kejadian berkenaan adalah bekas pegawai polis berusia lebih 60 tahun dan maklumat tentang pengambilannya untuk bekerja serta data berkaitan, tidak pernah dikemukakan kepada kementerian itu. Katanya siasatan turut mendapati senjata yang digunakan pengawal keselamatan terbabit mempunyai lesen dan didaftarkan bagi kegunaan sendiri dan bukan untuk kegunaan syarikat.

"Dia ada lesen bagi senjata berkenaan, tapi untuk kegunaan sendiri sahaja dan bukan untuk kegunaan bertempur.

"Malangnya, senjata itu digunakan untuk tujuan kawalan keselamatan oleh syarikat terbabit dan ini adalah salah. Polis boleh ambil tindakan terhadapnya," kata Ahmad Fuad.

Mengenai latihan yang wajib dijalani oleh semua pengawal keselamatan yang diambil bekerja oleh agensi keselamatan di negara ini, beliau berkata syarikat berkenaan hanya memberi latihan kepada 54.9 peratus daripada 473 pengawal keselamatannya.

Ahmad Fuad berkata walaupun syarikat kawalan keselamatan itu mendapat lesen bagi menggunakan senjata api pada 2 September 2009, tetapi ia tidak memaklumkan perkara itu kepada kementerian berkenaan.

Dalam kejadian Selasa lepas, senapang patah seorang pengawal keselamatan meletup secara tidak sengaja dan pelurunya terkena kaki dua kanak-kanak Mohd faris Abdullah Ariff, 12 dan sepupunya Ahmad Faiz Roslan. Akibat kejadian itu, doktor terpaksa memotong ibu jari kaki Ahmad Faiz.

Berikutan kejadian itu, Ahmad Fuad menasihati syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara supaya lebih berhati-hati agar tragedi serupa tidak berulang.

"Berdasarkan akta yang ada, menteri berkenaan berhak menggantung atau membatalkan lesen Agensi Swasta yang tidak mematuhi Akta Agensi Swasta 1971," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain