suria

10 Lelaki Dan Seorang Wanita Disyaki Anggota Sindiket Curi Kereta Dtiahan

JOHOR BAHARU: Polis menahan 10 lelaki serta seorang wanita yang dipercayai anggota satu sindiket curi kereta yang terbabit dalam 32 kes curi kenderaan di tiga negeri dalam serbuan di Pasir Gudang dan Masai sejak Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Ab Rahman berkata enam kereta turut dirampas dalam serbuan itu.

Beliau berkata empat daripada suspek yang ditangkap memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes curi, rompakan dan kesalahan berkaitan dadah.

"Biasanya mereka menyamar sebagai pihak yang mewakili bank yang menarik kereta daripada pemilik yang gagal membuat bayaran pinjaman bulanan, dan kami percaya ia adalah taktik terbaru yang digunakan penjenayah ini," katanya dan menambah kumpulan ini dipercayai bergerak aktif sejak lebih setahun lalu di Johor, Pahang dan Perak.

Katanya dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Mawar, Pasir Gudang pada kira-kira pukul 11.20 malam Jumaat lepas, polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita yang berumur antara 16 dan 37.

Jalaluddin berkata dua Proton Waja, sebuah Proton Iswara, sebuah Proton Wira dan sebuah kereta Hyundai Sonata bersama barangbarang lain seperti dua parang, satu pedang, batang kayu dan wang tunai RM3,712 serta beberapa matawang asing turut dirampas dalam serbuan itu.

Beliau berkata penahanan mereka membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah di Taman Cahaya Masai, di Masai, kira-kira empat jam kemudian, dan penahanan tiga lagi anggota kumpulan itu yang berumur antara 21 dan 27.

Katanya dalam serbuan kedua itu polis merampas sebuah kereta Proton Waja, empat plet nombor kereta, tiga kamera, empat telefon bimbit, dan tiga chop syarikat.

Jalaluddin berkata kereta serta barang-barang yang dirampas itu bernilai lebih RM300,000, dan menurutnya polis percaya kumpulan itu juga terbabit dalam beberapa kes rompak dan curi.

Sementara itu 72 wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO ditahan dalam serbuan di 26 pusat hiburan dalam bandar raya pada hari Jumaat dan Sabtu lepas.

Jalaluddin berkata antara yang ditahan ialah 50 warga Thailand, 11 warga Indonesia dan tujuh warga China.

Beliau berkata mereka dibawa ke Malaysia oleh satu sindiket dan berada di sini lebih tiga bulan menggunakan pas lawatan sosial, dan menurutnya semua wanita itu akan didakwa di bawah Akta Imigresen kerana melanggar peraturan pas lawatan.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, dan menggesa mereka supaya terus membantu polis dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah dengan menelefon talian hotline 07-2212999. BERNAMA

Artikel Lain