suria

Saman Chin Peng ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Rabu menolak dengan kos, saman yang difailkan oleh bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap kerajaan Malaysia.

Hakim Balia Yusof Wahi memutuskan saman itu "tidak mampan" kerana permusuhan antara PKM, yang telah dibubarkan, dengan kerajaan adalah fakta sejarah dan tidak boleh dinafikan.

Katanya perjanjian menamatkan permusuhan itu ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 1989 itu sendiri telah menunjukkan wujudnya perjuangan bersenjata antara kerajaan dan kumpulan itu.

Balia juga menerima alasan Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh bahawa saman yang difailkan oleh Chin Peng dan anggota PKM adalah satu fitnah dan bukan saman kemungkiran kontrak seperti yang didakwa peguam bela Tommy Thomas kerana asas aduan oleh pengadu ialah reputasi mereka tercemar.

Balia juga memutuskan bahawa PKM tidak boleh menyaman atau disaman kerana ia tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan.

Saman itu difailkan berikutan laporan media pada 21 Mac dan 6 Mei, 2005 bahawa Timbalan Menteri Penerangan pada masa itu, Datuk Zainuddin Maidin telah mengumumkan bahawa Radio Televisyen Malaysia akan menyiarkan dokumentari mengenai kekejaman pengganas komunis selepas Perang Dunia Kedua dan sedekad selepas kemerdekaan Malaysia.

Chin Peng, 85, yang dilahirkan sebagai Ong Boon Hua telah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM bagi menuntut kerugian dan menghalang kerajaan Malaysia atau ejen-ejen daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai mereka.

Mereka juga memohon mendapatkan pengisytiharan bahawa Perjanjian Damai 1989 serta persetujuan yang ditandatanganinya masih sah.

Dalam pembelaannya, kerajaan berkata daripada aspek sejarah dan pengetahuan umum di negara ini, nama, reputasi dan maruah Chin Peng dan anggota pertubuhan itu telahpun terjejas dengan teruknya pada pandangan orang ramai selama ini.

Balia juga mengenepikan saman peribadi Chin Peng terhadap kerajaan dengan menyatakan bahawa apa yang disebut oleh Zainuddin sebagai satu kenyataan umum yang tidak merujuk kepada Chin Peng.

Chin Peng, yangkini tinggal di Thailand, telah mengemukakan permohonan di mahkamah Malaysia untuk kembali menetap di Malaysia.

Tetapi, dia gagal dalam usahanya bagi mendapatkan Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya terhadap dua mahkamah rendah yang memaksanya untuk mengemukakan dokuemn epenganalan bagi membuktikan bahawa dia merupakan warganegara Malaysia sebelum dapat meneruskan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

7 Oktober hari perdamaian PAS-DAP?

Artikel Lain