suria

RazakSAT sedia untuk dilancar Selasa ini

KUALA LUMPUR: Inovatif kabanggaan Malaysia, satelit RazakSAT, sudah bersiap sedia untuk dilancarkan mengikut jadual pada hari Selasa ini dari Kwajalein Atoll di Republik Marshall Islands.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; dan pegawaipegawai kanan kementerian itu dijangka tiba di Guam hari ini untuk menyaksikan pelancaran bersejarah satelit itu menerusi siaran langsung yang disiarkan oleh laman web, menurut satu kenyataan kementerian itu di sini semalam.

Menurutnya sebaik tiba Ongkili bersama delegasinya diberi taklimat berhubung persiapan pelancaran itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Satelit RazakSAT bersama kenderaan pelancarnya, Falcon 1, yang dikendalikan oleh Space Explortion Technologies Amerika (SpaceX) ketika ini sudah ditempatkan di pad pelancaran di Pulau Omelek, yang merupakan tapak pelancaran.

Satelit penderiaan jauh 180kg itu direka, dibangun, dibina dan diuji secara tempatan, dan ia juga adalah satelit penderiaan jauh pertama yang akan mengorbit khatulistiwa.

Satelit yang mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein itu akan mengorbit Near Equator Orbit (NEqO) pada altitud nominal 685km.

Lokasi orbit akan membolehkan peningkatan kekerapan dalam pemerhatian imej permukaan bumi dan alam sekitar.

RazakSAT akan membawa kamera resolusi tinggi yang akan merakam imej dari angkasa untuk pelbagai aplikasi seperti pertanian tepat, memeta lanskap, pencegahan bencana, rancangan rangkaian jalan dan bandar, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia, tapi juga kepada lainlain negara yang terletak di sekitar garisan khatulistiwa.

Imej-imej itu juga boleh digunakan untuk mengkaji pelbagai fenomena meteorologikal.

"Saya berpuas hati dengan persiapan dan langkah-langkah perlu yang diambil oleh ATSB dan SpaceX bagi memastikan pelancaran yang lancar. Kami harap semua rakyat Malaysia akan mendoakan kejayaan pelancaran RazakSAT ini," kata Ongkili.

Semasa lawatan ke Guam, Ongkili dan delegasinya juga akan melawat makmal marin, warisan marin dan pusat oceanografi di University of Guam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain