suria

4 Ketua Pemuda Umno didenda, 8 MP Pakatan dicela

KUALA LUMPUR: Empat Ketua Pemuda Umno didenda RM1,000 manakala lapan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dicela selepas Dewan Rakyat meluluskan syor Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat yang menyiasat insiden Karpal Singh dihalang sekumpulan Pemuda Umno di Parlimen Februari lalu.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika mengumumkan keputusan jawatankuasa itu memberitahu Dewan, empat Ketua Pemuda itu yang didenda selepas didapati bersalah itu adalah Latt Sharizan (Petaling Jaya Utara), Megat Zulkarnain Omar Din (Gombak), Azahari Shaari (Shah Alam) dan Ungku Md Salleh Ungku Abdul Jamal (Serdang).

Sementara itu, lapan ahli Parlimen yang terdiri daripada lima saksi kejadian dan tiga ahli jawatankuasa berkenaan ditegur kerana gagal menghadirkan diri pada siasatan dan mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Ahli Parlimen yang ditegur adalah Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), Lim Lip Eng (DAP-Segambut), N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang merupakan saksi kejadian.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) dan S.Sivarasa (PKR-Subang) adalah anggota jawatankuasa berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menggulung perbahasan usul berkenaan berkata, tindakan itu terpaksa diambil memandangkan ketika siasatan kes itu dibuat, Karpal selaku saksi dan mangsa tidak pernah hadir.

"Tubuh badan yang jadi mangsa (Karpal) tidak rela untuk dipanggil saksi, macam mana kita hendak buat laporan (polis) kita hendak siasat dia tidak mahu datang," katanya.

Mohamed Nazri berkata denda RM1,000 merupakan denda maksimum bagi kesalahan itu walaupun jumlah itu dianggap rendah oleh Karpal.

"Kalau Bukit Gelugor rasa RM1,000 itu murah, mungkin sebab Bukit Gelugor itu kaya... jawatankuasa tidak boleh buat tindakan luar daripada akta. Kalau maksimum RM1,000, RM1,000 lah," katanya.

Usul berkenaan diluluskan walaupun semua ahli Parlimen Pakatan keluar dari Dewan sebelum keputusan itu dibacakan sebagai tanda tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Sementara itu, Pandikar ketika mengulas keputusan itu berkata, walaupun dukacita tetapi beliau terpaksa bersetuju dengan keputusan usul berkenaan.

"Saya harap perkara ini boleh diambil sebagai iktibar dan jangan lagi berlaku...dan apabila perbahasan tolong (berbahas) dengan penuh berhemah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, beliau berharap insiden 26 Februari lalu dijadikan pengajaran bukan hanya oleh Pemuda Umno tetapi juga oleh Karpal.

"Ini pengajaran kepada semua. Jangan kata kepada Umno sahaja tetapi ini juga pengajaran kepada Bukit Gelugor," katanya kepada media selepas mengiringi empat Pemuda Umno itu membayar denda mereka di Bilik Urusetia Dewan Rakyat.

Khairy menegaskan, Pemuda tidak akan meminta maaf kepada Karpal berikutan insiden itu sebaliknya Pengerusi DAP itu yang sepatutnya terlebih dahulu meminta maaf kerana menuduh Pemuda melakukan jenayah dan mengeluarkan perkataan yang menghina Pemuda.

"Tindakan Pemuda Umno (pada 26 Februari) tidak dirancang. Tidak ada keganasan, tidak ada menyentuh tubuh badan Bukit Gelugor dan tidak ada niat untuk menimbulkan kekecohan.

"Tuduhan yang dibuat adalah tuduhan jenayah dan ini adalah jenayah serius," katanya.

Ditanya sama ada Pemuda akan terus mencabar Karpal untuk mengulangi dakwaan terhadap Pemuda sama ada di dalam dan luar Dewan, Khairy berkata, beliau menganggap perkara itu telah selesai.

Artikel Lain