suria

Bukan semua golongan belia bermotosikal Mat Rempit, kata Shabery

PUTRAJAYA: Masyarakat tidak harus memandang serong terhadap golongan belia bermotosikal dengan menganggap mereka semua sebagai "Mat Rempit" yang bermasalah, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata masyarakat seharusnya bijak menilai dengan memberi ruang kepada golongan belia bermotosikal untuk menunjukkan kemampuan mereka.

Ahmad Shabery meminta masyarakat agar tidak panik berhubung masalah Mat Rempit kerana ia hanya bersifat sementara.

Bilangan Mat Rempit juga hanya kecil yang dianggarkan antara 6,000 hingga 10,000 sahaja berbanding 12 juta golongan belia di seluruh negara yang majoritinya berjaya dalam hidup serta berguna kepada masyarakat, katanya ketika merasmikan Karnival Go Youth di sini semalam.

Mengenai karnival itu, Ahmad Shabery berkata ia merupakan satu pentas bagi golongan belia melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

Karnival sehari yang akan berlangsung Sabtu ini di pekarangan Stadium Nasional di Bukit Jalil antara lain memuatkan aktiviti seperti Perhimpunan Kereta Terbesar di Malaysia di mana lebih 2,000 buah kereta akan dikumpulkan dan seterusnya mendapat pengiktirafan di dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Turut diadakan ialah Pertandingan Kereta Tercantik, Aktiviti MyUsahawan (geraigerai jualan) dan konsert mini.

Sebanyak 40 buah kelab kereta akan terlibat di karnival itu dan seramai 4,000 orang belia dijangka mendaftar secara serentak sebagai anggota Pertubuhan Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur(YOUTH). BERNAMA '

Artikel Lain